WILAYAH - TENGAH > BERITA

ISTIADAT PERTUKARAN PENGAWAL ISTANA SIRI 2/25 PAMER TRADISI KETENTERAAN

22/11/2025 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara siri 2/25 berlangsung dengan penuh tradisi ketenteraan hari ini, melibatkan sembilan pegawai dan 164 anggota pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).

Istiadat yang bermula seawal 9 pagi turut disertai 22 kuda daripada 21 Skuadron Istiadat Berkuda (SIB), diiringi Pancaragam Pusat RAMD.

Acara dimulakan dengan perbarisan keluar anggota pengawal lama dari pekarangan istana, mengambil kedudukan di hadapan pintu utama, diikuti anggota pengawal baharu yang menempati kedudukan berhadapan

Upacara diteruskan dengan penyerahan panji-panji, sebagai simbolik pertukaran pasukan pengawal lama dan baharu, disaksikan Pegawai Memerintah 1 RAMD, Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali, serta Pegawai Memerintah SIB, Leftenan Kolonel Shahrul Azudin Maulod.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, berkata tradisi ini lambang taat setia kepada raja dan negara, selain mencerminkan dedikasi serta disiplin anggota yang terlibat.

“Ini sebahagian daripada tradisi dan warisan kita yang dipertahankan. Dahulu, upacara ini hanya berlangsung di Istana Negara lama, namun kini dipamerkan supaya rakyat dapat melihat dan memahami nilai tradisi ini,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa proses pertukaran pengawal dilakukan dua hingga tiga kali setahun, melibatkan tempoh penugasan tiga hingga enam bulan. Sepanjang tempoh itu, anggota terbabit bukan sahaja menjaga keselamatan istana, tetapi turut menjalankan tugasan lain seperti kawalan kehormatan untuk ketua negara yang berkunjung, serta mengendalikan pelbagai acara rasmi peringkat nasional.

Seorang pelancong dari Toronto, Kanada, Tasneem Siddiqui, 44, menzahirkan rasa kagum melihat istiadat penuh tradisi dan keunikan.

"Ia sangat indah dan unik. Di Amerika Utara, kami tiada upacara seperti ini, setidak-tidaknya setahu saya, tetapi ia sangat cantik dan menunjukkan keindahan negara ini,” katanya, yang pertama kali berkunjung ke Malaysia.

Sementara itu, Nurin Imanina Shamsul Irwan, 22, berkata sebagai anak muda, beliau berasa sebak menyaksikan upacara yang mencerminkan semangat patriotisme.

“Ini kali pertama saya lihat sendiri upacara ini. Apabila melihat mereka berkawad dan diiringi muzik, saya rasa terharu dan sebak,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan