KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Pelari 400 meter (m) wanita negara Shereen Samson Vallabouy berharap dapat pulih segera daripada kecederaan hamstring bagi membolehkannya beraksi pada Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.
Shereen, yang dijadualkan menyertai empat acara pada temasya dwitahunan itu berkata proses pemulihan kecederaan pada bahagian kaki kiri yang dialaminya baru-baru ini menunjukkan perkembangan positif.
“Saya sebenarnya mengalami ketegangan hamstring dua minggu lepas ketika menjalani latihan untuk acara 4x100m lari berganti-ganti. Dua hari lepas saya sudah mula berjoging.
“Saya rasa hanya masa akan menentukan tetapi setakat ini saya dapat melihat kemajuan yang baik,” katanya ketika ditemui pada sesi perjumpaan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah bersama atlet olahraga kebangsaan di sini semalam.
Selain acara 400m dan 4x100m, atlet berusia 27 tahun itu turut dijadualkan menyertai acara 4x400m dan 4x400m campuran.
Sementara itu, Shereen berkata beliau tidak akan memandang rendah cabaran atlet Thailand dan Vietnam, yang dijangka menjadi ancaman terbesar terhadap usahanya mempertahankan pingat emas 400m wanita.
Shereen, yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 51.79 saat (s) dua tahun lepas, merekodkan catatan terbaik musim ini, iaitu 53.66s pada kejohanan di Florida, Amerika Syarikat, April lepas.
Atlet kelahiran Ipoh itu merangkul emas 400m wanita pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, dengan catatan 52.53s.
Halangan terbesar Shereen pada Sukan SEA akan datang ialah atlet Thailand Josephine Chinenye Onuorah, pelari terpantas Asia Tenggara tahun ini selepas mencatat 52.70s yang direkodkan di Amerika Syarikat.
Atlet Vietnam Nguyen Thi Ngoc turut muncul ancaman serius selepas mencatat 53.12s pada Kejohanan Asia pada Mei, diikuti atlet Thailand Benny Nontanam (53.15s) dan seorang lagi wakil Vietnam Le Thi Tuyet Mai (53.37s).
Sukan SEA 2025 dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini, melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial