ALOR GAJAH, 22 Nov (Bernama) -- Agenda pembangunan belia menjadi teras utama pentadbiran kerajaan negeri Melaka, kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau menjelaskan belia merupakan tonggak pemikir, penggerak dan pencetus inovasi yang akan memacu Melaka ke arah negeri lebih progresif. Sehingga September lalu, hampir 490,000 daripada 1.05 juta rakyat Melaka adalah belia berusia 15 hingga 40 tahun, termasuk lebih 324,000 pemilih berdaftar.
"Anak muda hari ini bukan sekadar pemerhati dalam sistem demokrasi, sebaliknya penentu hala tuju negeri dalam 10 hingga 20 tahun akan datang, termasuk peluang pekerjaan, inovasi digital dan dasar sosial yang menyentuh kehidupan setiap keluarga," katanya.
Kerajaan negeri telah melaksanakan lebih 100 inisiatif khusus untuk belia, termasuk penubuhan Dewan Belia Negeri Melaka bagi memastikan suara mereka sampai ke pentas kepimpinan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rakan Muda Rakan Demokrasi: Undi Orang Muda / Simulasi Pilihan Raya Peringkat Daerah Alor Gajah Siri 2 Tahun 2025, yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam.
Ab Rauf berkata hasil persidangan pertama Dewan Belia Ogos lalu membentang 11 usul yang kini sedang diteliti sebagai panduan perancangan Bajet 2026 Negeri Melaka.
"Matlamat kerajaan jelas: setiap dasar, projek dan peluang yang diwujudkan harus mampu menjangkau seluruh lapisan belia negeri.
“Saya menyeru generasi muda menggunakan platform ini dengan bijak, menyalurkan aspirasi dan idea secara konstruktif, agar suara belia menjadi pemangkin perubahan positif," katanya.
Program ini bukan sahaja memberi pendedahan asas demokrasi, malah meningkatkan kesedaran belia tentang peranan penting mereka dalam menentukan masa depan negeri dan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial