WILAYAH - UTARA > BERITA

BOMBA SIAP SIAGA HADAPI BANJIR SUSULAN HUJAN BERTERUSAN DI ENAM NEGERI

22/11/2025 06:45 PM

JITRA, 22 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga menghadapi banjir susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melibatkan enam negeri bermula semalam.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata lebih 15,000 anggota dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan, khususnya di empat negeri di bahagian utara, termasuk dengan pemantauan aset marin dan udara.

“Trend kali ini berubah, ramalan menunjukkan hujan turun di utara dahulu sebelum beralih ke Pantai Timur.

“Jadi arahan telah dikeluarkan kepada empat negeri utara dan persiapan teliti juga telah dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan pada tahap terbaik,” katanya kepada pemberita pada Pertandingan Fire Chef dan Kempen Kesedaran Awam sempena Sambutan Minggu Inovasi JBPM 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata JBPM turut menetapkan hanya 20 peratus anggota dan pegawai dibenarkan bercuti bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada paras optimum.

Semalam, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (membabitkan daerah Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar) hingga Isnin (24 Nov).

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kelantan dan Terengganu hingga Rabu ini (26 Nov).

Mengulas mengenai kebakaran di Sekolah Kebangsaan Baling semalam, Nor Hisham berkata siasatan sedang dijalankan tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian mungkin berpunca daripada sistem pendawaian elektrik sekolah berkenaan.

“Kemungkinan besar disebabkan pendawaian elektrik kerana tiada sesiapa di sekolah pada waktu kejadian, namun saya tidak mahu membuat kesimpulan mengenai punca sebenar sama ada kotak kawalan, pendawaian dalaman atau peralatan elektrik. Ia masih dalam siasatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihati pihak pentadbiran sekolah untuk menjalankan pengauditan sistem pendawaian elektrik setiap 10 tahun bagi memastikan keselamatan bangunan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan