WILAYAH - SABAH > BERITA

GRS PERKEMAS STRATEGI KEMPEN, FOKUS MESEJ MANIFESTO DAN PRESTASI LIMA TAHUN - HAJIJI

22/11/2025 07:33 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Memasuki minggu kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkemas gerak kerja kempennya dengan memberi fokus kepada menyampaikan mesej pembangunan dan manifesto ditawarkan kepada pengundi.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata mesej kempen GRS merangkumi kupasan dan penerangan mengenai prestasi dicapai sepanjang tempoh lima tahun gabungan parti tempatan itu menerajui pentadbiran kerajaan Sabah.

Menurut Hajiji, GRS mempunyai hala tuju jelas untuk terus memperhebat pembangunan negeri yang kelak memberi limpahan manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

Ketua Menteri berkata beliau juga akan memastikan semua calon GRS yang diberi mandat oleh pengundi sebagai wakil rakyat pada pilihan raya negeri itu akan benar-benar menggalas tanggungjawab membawa kemajuan di kawasan masing-masing.

“Apa yang diperlukan rakyat mesti dibawa kepada (perhatian) kerajaan untuk kita usahakan dan laksanakan keperluan yang rakyat mahu. Ini termasuk kemudahan asas seperti jalan raya, aktiviti ekonomi dan kepentingan orang muda di kawasan itu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini hari ini.

Hajiji berkata pelbagai inisiatif akan diberikan kepada rakyat oleh GRS sekiranya parti itu sekali lagi diberi mandat untuk menerajui pentadbiran kerajaan Sabah selepas pilihan raya negeri berkenaan.

“Insya-Allah, saya yakin rakyat kita akan memilih sebuah kerajaan yang boleh membawa kemajuan kepada Sabah, tahu denyut nadi mereka yang kurang berkemampuan dan perlu diberi pembelaan. Ini amat penting.

“Rekod kita lima tahun ini sudah kita jelaskan kepada rakyat, mereka boleh lihat daripada pencapaian kita selama lima tahun lepas. Mudah-mudahan mereka membuat pilihan bijak,” katanya.

GRS yang ditubuhkan hampir empat tahun lepas dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Pada pilihan raya negeri kali ini, GRS bertanding di 55 daripada 73 kerusi, dengan lebih 40 kerusi daripadanya diyakini menang bersandarkan kepada kekuatan jentera parti, sokongan padu akar umbi dan kerjasama mantap ditunjukkan oleh semua parti komponen dalam gabungan itu.

Manifesto GRS berteraskan gagasan “Rumah Kita, Kita Jaga” dengan tema Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan dilancarkan Hajiji baru-baru ini, akan dipacu menerusi empat rukun utama iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Maju ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Bersatu.

Empat rukun berkenaan diterjemahkan melalui 16 strategi merangkumi pelbagai agenda pembangunan merentasi sektor ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan, pembangunan modal insan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat, termasuk tuntutan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan tarikh pengundian awal 25 Nov. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan