WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BAPA KANAK-KANAK RUSIA DISENGAT UBUR-UBUR HARAP KESELAMATAN PANTAI CHENANG DITINGKATKAN

22/11/2025 07:26 PM

ALOR SETAR, 22 Nov (Bernama) -- Bapa kanak-kanak warga Rusia yang maut akibat disengat ubur-ubur di Pantai Chenang, Langkawi, baru-baru ini berharap kejadian yang menimpa anaknya dapat dijadikan iktibar.

Nikita Lakubanets, 32, berkata langkah keselamatan di pantai pulau peranginan itu perlu dipertingkatkan bagi melindungi orang ramai daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Mereka harus meningkatkan keselamatan pantai bagi mengelak tragedi serupa. Kematian anak lelaki kami menunjukkan masalah ini sangat serius dan ia meninggalkan kesan yang mendalam.

“Kami berharap dapat melihat penyelesaian kepada masalah ini. Harapan kami, anak saya adalah individu terakhir yang meninggal dunia kerana insiden seperti itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Nikita dan isteri Olga, 32, menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah Datuk Mohd Salleh Saidin di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Anak pasangan itu, Vladimir yang berusia dua tahun menghembuskan nafas terakhir di HSB pada Rabu selepas bertarung nyawa sejak kejadian itu pada 15 November lepas.

Pasangan itu merancang untuk melakukan proses pembakaran mayat sebelum abu anak mereka dibawa pulang ke Rusia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan