WILAYAH - SABAH > BERITA

TERDAPAT KEPERLUAN WUJUDKAN ASRAMA UNTUK KOLEJ KOMUNITI DI SABAH - ZAMBRY

23/11/2025 12:25 AM

KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus terhadap pembangunan pendidikan tinggi di Sabah, termasuk keperluan untuk menyediakan asrama di Kolej Komuniti serta penubuhan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Sabah mempunyai keperluan yang berbeza berbanding negeri lain, terutama melibatkan pelajar dari kawasan pedalaman yang memerlukan kemudahan asrama bagi menyambung pengajian di Kolej Komuniti.

“Saya lihat ada keperluan untuk kita wujudkan asrama untuk pelajar yang datang daripada pelbagai kawasan di dalam negeri Sabah. Jadi kita akan lakukan.

“Dasar Kolej Komuniti memang tidak ada asrama tapi dalam konteks Sabah, Sarawak dan kawasan-kawasan pedalaman tertentu di Semenanjung, keperluan itu sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas program Makan Malam santai Bersama Menteri Pendidikan Tinggi, di sini hari ini.

Zambry berkata keperluan itu disedari selepas lawatannya ke beberapa Kolej Komuniti di Sabah termasuk Kolej Komuniti Tambunan dan Beaufort, yang menerima pelajar dari kawasan luar bandar serta sukar diakses.

Beliau berkata kerajaan turut mengambil langkah besar dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi di Sabah, dengan meluluskan penubuhan Fakulti Undang-Undang di UMS.

“Kabinet telah meluluskan untuk mewujudkan satu fakulti baharu dan kita benarkan kepada UMS sekiranya mereka nak wujudkan sebuah fakulti undang-undang.

“Majlis Peguam pun tidak ada halangan untuk Sabah dan Sarawak mempunyai fakulti undang-undang,” katanya.

Beliau berkata langkah itu penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak muda Sabah dalam bidang profesional undang-undang, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada universiti di Semenanjung.

Zambry berkata tempoh penubuhan fakulti berkenaan juga bergantung kepada kesediaan UMS.

“Kita harap mereka boleh segerakan tapi saya rasa ia mungkin mengambil masa antara enam bulan hingga setahun dari sekarang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan