WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROSES IKAN BILIS KAEDAH TRADISIONAL, PENGUSAHA RAIH PENDAPATAN LUMAYAN

23/11/2025 12:21 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

KUNAK, 23 Nov (Bernama) -- Meskipun ramai pengusaha memilih kaedah moden, Nurmalasari Tianggi tetap setia dengan cara tradisional memproses ikan bilis kering yang diusahakan bersama-sama keluarga sejak 1994 di Kampung Pangkalan Laut, dekat sini.

Malah, perusahaan yang tidak menggunakan sebarang mesin itu ternyata menjadi pilihan utama pelanggan sehingga ibu kepada tiga anak itu mampu meraih pendapatan antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan.

"Proses ini bergantung pada kudrat manusia sepenuhnya, setakat ini semua pelanggan berpuas hati dengan ikan bilis kami kerana lebih bersih," katanya ketika ditemui Bernama.

Nurmalasari, 31, berkata seawal 3 pagi, lazimnya bapanya akan pergi ke laut untuk membeli ikan bilis segar daripada nelayan pada harga RM280 untuk sebakul besar dan pulang ke rumah antara pukul 7 pagi hingga 8 pagi.

"Kemudian, ikan bilis segar itu direbus kira-kira lima minit, seterusnya dikeringkan di bawah terik matahari dan apabila sudah kering, ikan bilis akan diasingkan mengikut saiz dan proses ini dijalankan secara bergotong-royong bersama dengan ahli keluarga," katanya.

Selepas proses itu selesai, Nurmalasari berkata ikan bilis berkenaan sedia dijual kepada pelanggan dari daerah Kunak, Semporna, Tawau dan kawasan lain di Sabah.

"Lazimnya, pelanggan akan membeli antara 100 kilogram (kg) hingga 500 kg sehari. Ikan bilis ini kami simpan di dalam guni yang setiap satunya seberat kira-kira 23 kg.

"Namun, ada kalanya kami kehabisan stok kerana banyak permintaan. Biasanya juga, kami tidak mempunyai bekalan ikan bilis segar untuk diproses pada April kerana di luar musim," katanya.

Sementara itu, dia berharap ada agensi berkaitan yang dapat memberikan bantuan enjin bot, dapur tempat merebus ikan bilis dan peralatan mengasingkan ikan bilis supaya proses penghasilan produk laut itu dapat dilakukan dengan lebih cepat.

"Kalau boleh, saya juga mahu ada jenama produk ikan bilis sendiri, dapat eksport ikan bilis ke luar Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan