WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRN SABAH: SPR NAFI TUDUHAN PEMANTAUAN LUAR BIASA TERHADAP CALON, PARTI

23/11/2025 03:22 PM

KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memberi tumpuan khusus atau menyasarkan mana-mana parti mahupun pihak-pihak tertentu, Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus.

Beliau berkata aduan pengawasan luar biasa terhadap calon atau parti tertentu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah tidak benar. 

“Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan disarankan membuat aduan secara rasmi kepada SPR atau pihak berkuasa berkaitan terhadap sebarang salah laku, kecurigaan atau sebarang aduan tentang ketidakpatuhan peraturan dan undang-undang pilihan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril berkata SPR sentiasa mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam PRN Sabah untuk terus mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa sepanjang proses itu berlangsung bagi memastikan keamanan dan integriti pilihan raya dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau bekata PPKPR ditubuhkan sebagai mana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertujuan memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi.

Beliau berkata bagi melaksanakan tanggungjawab itu, pasukan penguat kuasa tersebut akan menjalankan pemantauan terhadap aktiviti-aktiviti kempen calon bertanding dan menasihati agar semua pihak dapat mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. 

Baru-baru ini, seorang calon daripada sebuah parti politik mendakwa pegawai SPR seolah-olah mengekori calon parti tersebut dalam semua program kempen mereka.

SPR menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan