TAWAU, 23 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertahanan merancang menambah kekuatan anggota tentera di Sabah sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kawalan keselamatan di negeri itu, kata menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata Sabah berhadapan dengan pelbagai cabaran tradisional dan bukan tradisional yang perlu ditangani.
“Kita (Kementerian Pertahanan) mahu secara maksimum tangani isu keselamatan di Sabah, perkukuh keselamatan, di samping mewujudkan pangkalan laut baharu untuk menempatkan kapal-kapal baharu kita yang akan sampai dalam masa setahun atau dua tahun ini.
“Begitu juga kita meletakkan teknologi keselamatan tinggi dron di perairan Sabah, kita juga sedang berusaha untuk menambah radar di pesisir pantai di Sabah agar tidak ada kawasan yang kita tidak 'nampak',” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Kubota di sini hari ini.
Ketika berucap, Mohamed Khaled berkata, selain ATM dan pasukan keselamatan lain, soal keselamatan negara turut memerlukan penglibatan masyarakat bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.
“Dalam kajian Kertas Putih Pertahanan, kita perhatikan ada peranan yang wajar dimainkan oleh masyarakat, melalui Whole of Government of Society (pendekatan menyeluruh masyarakat), lebih-lebih lagi (masyarakat) di Sabah ini sekurang-kurangnya boleh menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan negara.
“Masyarakat boleh tampil melaporkan jika melihat berlaku sebarang jenayah, supaya tindakan boleh diambil, kita perlu masyarakat dapat menyumbang menjayakan ekosistem keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Karnival Hari Keluarga ATM Sabah berjaya menjadi platform menjamin kebajikan dan kesejahteraan warga kerja ATM, selain memperkukuh sokongan semangat.
“Karnival ini juga secara langsung membuka peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami peranan strategik ATM dalam memelihara keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial