WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDONESIA TAWAR DISKAUN TAMBAHAN SEMPENA KRISMAS KEPADA PELANCONG ASING

23/11/2025 03:59 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 23 Nov (Bernama) -- Indonesia akan melancarkan kempen beli-belah sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu di seluruh negara yang menawarkan diskaun sehingga 80 peratus, dengan tambahan potongan 11 peratus untuk pelancong asing yang menunjukkan pasport mereka dari 18 Dis 2025 hingga 4 Jan 2026.

Menteri Pelancongan Widiyanti Putri Wardhana berkata Belanja di Indonesia Aja (BINA) Indonesia Great Sale 2025 bertujuan merancakkan perjalanan hujung tahun dan perbelanjaan domestik, dengan sasaran transaksi sebanyak 30 trilion rupiah (US$1.8 bilion).

Lebih 380 syarikat, 80,000 premis perniagaan dan 800 jenama di lebih 400 pusat beli-belah di 24 wilayah menyertai kempen itu yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan bersama Persatuan Peruncit dan Penyewa Pusat Beli-belah Indonesia (HIPPINDO) serta Persatuan Pengurusan Pusat Beli-belah Indonesia (APPBI).

“Beli-belah adalah motivasi penting dalam pelancongan,” kata Widiyanti dalam satu kenyataan, sambil menyatakan bahawa pelawat asing membelanjakan 11.4 peratus daripada purata US$1,391 setiap perjalanan untuk cenderamata tahun lalu.

Pengerusi HIPPINDO Budihardjo Iduansjah berkata diskaun bermula pada kadar 20 peratus dengan tambahan 11 peratus untuk pelancong asing, bertujuan menjadikan Indonesia destinasi beli-belah pilihan sekali lagi.

Pengerusi APPBI Alphonzus Widjaja berkata Krismas dan Tahun Baharu membentuk tempoh runcit kedua terbesar selepas Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, sambil menambah bahawa jualan itu boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi akhir tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan