WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DEAFLYMPICS 2025: MALAYSIA PECAH REKOD KEBANGSAAN ACARA 4X100M

23/11/2025 03:55 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

TOKYO, 23 Nov (Bernama) -- Walaupun gagal menempah slot ke final, kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara tetap mencipta kegemilangan apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada temasya Deaflympics 2025 di Stadium Metropolitan Komazawa hari ini.

Rekod baharu 44.32 saat (s) pada pusingan pertama saringan satu itu disumbangkan oleh gandingan Muhammad Zumar Azman, Muhammad Shahrul Azmer, Hazrul Shah Hamri dan Muhammad Zamir Azman, sekali gus ‘menutup’ rekod lama 44.36s yang dilakukan pada Sukan SEA Pekak 2025 pada Ogos lepas.

Muhammad Shahrul berkata mereka sudah sedia maklum bahawa aksi di Tokyo pasti menguji mereka kerana barisan terbaik dunia turun berentap.

“Memang kami agak sukar nak lawan di Deaflympics kali ini sebab semua negara yang bertanding datang daripada negara-negara yang kuat.

“… tapi kami memang dah habis tenaga cuba yang terbaik dan di sini juga, antara faktornya ialah angin dan cuaca sejuk, yang bukan kebiasaan kami,” katanya.

Terdahulu, pasukan Colombia (42.11s), Jepun (42.19s) dan Ecuador (43.72s) yang berada dalam saringan sama layak ke peringkat final esok.

Berdasarkan format kejohanan, tiga terpantas daripada setiap dua saringan dan dua masa terpantas seterusnya layak ke final, dengan Malaysia berada di kedudukan tercorot menerusi catatan 44.32s.

Muhammad Zumar bagaimanapun berkata beliau enggan mengaku kalah terlalu awal kerana kontinjen Malaysia masih berpeluang menebus kekecewaan itu apabila beraksi pada final 4x400m esok.

“Kami ambil semua ini sebagai pengalaman untuk masa hadapan selain akan fokus acara terakhir esok dengan harapan paling besar ialah membawa pulang pingat ke Malaysia,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan