WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANJIR: KEADAAN TERKAWAL, PEMANTAUAN DITERUSKAN - JBPM KELANTAN

23/11/2025 04:37 PM

KOTA BHARU, 23 Nov (Bernama) -- Keadaan banjir di Kelantan dilaporkan masih terkawal walaupun jumlah mangsa semakin meningkat dari semasa ke semasa, kata Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Aswafaizole Abdul Wahab.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak 5,394 mangsa banjir kini berlindung di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 3.21 petang ini.

Aswafaizole berkata pihaknya tetap berwaspada dan akan mempergiat pemantauan serta operasi menyelamat di lokasi berisiko.

“Sejak Bilik Gerakan Operasi Negeri dibuka pada 8 malam tadi, pasukan bomba telah menyelamatkan 78 mangsa dalam tempoh 12 jam berikutan kenaikan paras air di beberapa daerah. 

"Kesemua mangsa diselamatkan selepas paras air di kediaman mereka meningkat dan pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan akan segera ke lokasi bagi operasi menyelamat,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Operasi Negeri di JBPM Tunjong di sini hari ini.

Aswafaizole menasihati orang ramai supaya mendapatkan maklumat keadaan cuaca dan paras air di kawasan penempatan masing-masing menerusi laman sosial jabatan kerajaan serta mematuhi arahan berpindah.

Beliau berkata Bilik Gerakan Operasi Negeri yang diaktifkan malam tadi kini dikendalikan oleh lebih lima anggota di bawah seliaan seorang pegawai kanan. 

"Pasukan ini bertugas memantau perkembangan cuaca, menyelaras pergerakan aset dan pasukan tindak balas serta mengendalikan panggilan kecemasan di seluruh negeri," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan