WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMPEN INTERNET SELAMAT LEPASI SASARAN TAHUN INI - FAHMI

23/11/2025 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya melepasi sasaran 8,000 sekolah dan institusi pendidikan yang ditetapkan bagi tahun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata setakat 20 Nov lepas, MCMC telah berjaya menganjurkan kempen berkenaan di 8,216 sekolah dan institusi pendidikan.

“Pada hari ini sahaja Kempen Internet Selamat berlangsung di 58 buah sekolah yang bagi saya penting untuk kita pertingkatkan. Ada lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dan ini merupakan sasaran utama bagi program Kempen Internet Selamat.

“Hal ini kerana kita dapati selain masalah buli siber, masalah scam (penipuan), masalah pedofilia dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak harus kita banteras,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai di sini hari ini.

Fahmi berkata pihaknya yakin menjelang suku pertama tahun depan, kempen terbabit akan dapat dilaksanakan di setiap sekolah di seluruh negara.

Kempen Internet Selamat bertujuan mendidik pengguna, terutamanya pelajar tentang penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab dengan matlamat untuk meningkatkan literasi digital dan membina persekitaran dalam talian yang lebih positif.

Program berkenaan juga memberikan fokus kepada isu-isu seperti buli siber, penipuan dalam talian, perjudian digital dan kandungan penderaan seksual kanak-kanak.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan kepada ibu bapa supaya memainkan peranan dengan tidak menggalakkan anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menggunakan media sosial.

Beliau turut berharap agar pihak pengendali platform media sosial akur dengan keputusan kerajaan untuk melarang kanak-kanak di bawah usia 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan