KUANTAN, 23 Nov (Bernama) -- Dua lelaki termasuk ketua kumpulan “Geng Musang” yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kes mencuri kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditahan di tepi jalan Kampung Batu 3, Mentakab, Temerloh.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Nasyim Bahron berkata lelaki yang dikenali dengan gelaran ‘Musang’ merupakan warga Kemboja ditahan bersama ‘Sepet’, seorang lelaki tempatan, kira-kira 9 malam Khamis lepas.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap dua lelaki masing-masing berumur 32 dan 36 tahun itu, polis menjumpai paket plastik disyaki mengandungi dadah dan kerambit bersama sarung.
“Hasil saringan awal urin mendapati kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu positif dadah manakala lelaki tempatan itu turut mempunyai enam rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Nasyim berkata dengan tertangkapnya suspek utama “Geng Musang”, pihaknya percaya telah melumpuhkan sepenuhnya kumpulan penjenayah itu dan menyelesaikan lima kes curi kabel ECRL yang dilaporkan di kawasan Temerloh dan Bentong, berlaku sekitar Ogos hingga September 2025.
Beliau berkata kedua-dua suspek kini direman hingga esok bagi membantu siasatan antaranya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sebelum ini, Bernama melaporkan polis menahan lapan lelaki kumpulan “Geng Musang” dan “Geng Jep Gambang” disyaki terlibat mencuri serta membeli kabel projek ECRL dengan anggaran kerugian lebih RM825,000.
Kesemua mereka berusia antara 29 hingga 45 tahun ditahan menerusi serbuan di Temerloh, Kuantan dan Bentong dari 10 hingga 14 Sept.
China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) sebelum ini memaklumkan kabel sepanjang 1,080 meter di jajaran Temerloh dan Lanchang serta 599 meter di jajaran Lanchang dan Bentong dicuri dalam tempoh hanya dua minggu, yang berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial