WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA SERI 2-2 DENGAN NEW ZEALAND PADA AKSI PEMBUKA TIRAI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2025

23/11/2025 09:47 PM

IPOH, 23 Nov (Bernama) -- Malaysia gagal memanfaatkan kelebihan dua gol yang dimiliki apabila seri 2-2 ketika menentang New Zealand pada aksi pembuka tirai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-31 di sini malam ini. 

Skuad Black Sticks melancarkan serangan bertali arus sebaik perlawanan bermula, namun anak buah Sarjit Singh yang sebaliknya berjaya memperoleh jaringan pendahuluan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-9.

Babak suku kedua menyaksikan tuan rumah terus di hadapan hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-21 sebelum New Zealand merapatkan kedudukan apabila dihadiahkan pukulan penalti strok yang mudah disempurnakan Sam Lane pada minit ke-26.

Skuad Speedy Tigers cuba menambah jaringan pada suku ketiga namun kedua-dua pasukan buntu untuk menghasilkan gol. 

Ketika permainan berbaki tiga minit, New Zealand yang tidak berputus asa melakukan serangan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 menerusi gol padang Dylan Thomas. 

Sementara itu, Sarjit menyifatkan keputusan seri dengan skuad kendalian Greg Nicol sebagai keputusan yang adil buat kedua-dua pasukan.

Beliau turut memberi peluang kepada semua pemain termasuk tonggak muda beraksi pada kejohanan kali ini  yang turut menjadi persiapan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026.

Dalam pada itu, penyerang sensasi negara Faizal Shaari berkata para pemain perlu fokus dan memperbaiki kesilapan-kesilapan kecil yang berlaku pada perlawanan ini.

“Kita masih ada empat perlawanan untuk diharungi. Kita juga perlu sedar yang New Zealand bukan calang-calang pasukan dan mereka berpengalaman bermain di pentas Olimpik,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan