SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor menggalakkan penyertaan pihak swasta dan industri dalam usaha memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah dengan lebih pantas.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata penglibatan industri dapat mempercepatkan usaha negeri memperkukuh pembelajaran teknikal dan vokasional di kalangan pelajar.
“Saya bersetuju bahawa pihak swasta dan industri perlu dilibatkan supaya pemahaman terhadap sains, teknologi, automasi dan digitalisasi dapat digerakkan dengan lebih pantas.
"Selain itu, institusi berkenaan mampu menyediakan laluan jelas kepada pelajar untuk memilih bidang STEM dan teknikal-vokasional yang melibatkan kejuruteraan dan matematik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) mengenai pengukuhan bidang STEM di sekolah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Amirudin, yang juga Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, berkata Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) akan memulakan program di sekolah menengah tahun depan bagi meneroka potensi pelajar yang berminat dalam bidang STEM.
Beliau menjelaskan inisiatif baharu ini memudahkan persediaan pelajar sebelum permohonan kemasukan ke sekolah selepas Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
“Dahulu kita menunggu selepas SPM. Kini, kita akan mula di tingkatan menengah atas atau menengah tinggi, malah mungkin menengah rendah jika ada ruang. Di situ kita menyediakan laluan supaya pelajar bersedia, minat dan menceburi bidang sains, teknologi serta teknikal-vokasional berprestasi tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial