WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TINGGAL EMPAT HARI BERKEMPEN, SUASANA PRN SABAH TENANG DAN MATANG - MOHAMAD HASAN

24/11/2025 05:48 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KOTA BELUD, 24 Nov (Bernama) -- Berbaki empat hari sebelum kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 melabuhkan tirai, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata setakat ini, ia berlangsung secara sihat dan tenang, mencerminkan kematangan politik pengundi di negeri itu.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata walaupun sesekali wujud nada kempen yang agak keras, secara keseluruhan tidak berlaku ketegangan seperti yang pernah dilihat pada PRN terdahulu.

“Saya amat gembira kerana kempen pilihan raya di Sabah ini nampak tenang... Orang Sabah ini nampaknya matang berpolitik... mereka boleh menerima dan mereka boleh beri pandangan… kalau ada tempat-tempat yang dahulunya agak tegang, kali ini tak ada ketegangan yang berlaku.

“Masing-masing berkempen dengan sihat, membawa manifesto dan menerangkan kepada pengundi apa yang boleh dilakukan jika mereka diberi peluang mewakili kawasan masing-masing,” katanya kepada Bernama ketika berkempen di Dewan Undangan Negeri Tempasuk di sini hari ini.

Beliau juga berkata jentera BN di semua peringkat berada dalam keadaan tersusun, bertenaga dan telah lama bergerak sebelum tempoh rasmi kempen bermula.

“Jentera BN amat bersemangat dan tersusun... dan kita telahpun menjalankan gerak kerja bukan hanya semasa dalam kempen ini tetapi sudah berbulan-bulan... jentera yang dibantu oleh negeri-negeri angkat dari Semenanjung memberikan bantuan kepada jentera tempatan untuk dapat mengurus pilihan raya dengan lebih tersusun dan lebih teratur.

“Teruskan gerak kerja yang baik ini sehingga hari penamat ataupun pengundian pada 29 Nov nanti,” katanya.

Mengulas persiapan BN pada peringkat akhir kempen, Mohamad berkata beberapa langkah teknikal termasuk dry run, kajian sikap dan pengedaran risalah kecil kepada pengundi telah dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan parti berada pada tahap optimum,” katanya.

Beliau turut berharap sokongan pengundi muda akan memihak kepada calon BN terutama di kawasan yang majoritinya terdiri daripada golongan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala esok hari mengundi awal.

Untuk berita terkini PRN Sabah, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php   

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan