SANDAKAN, 24 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut Datuk Masiung Banah bertekad untuk terus memperjuangkan isu pemilikan tanah yang masih membebankan penduduk di kawasan berkenaan.
Masiung berkata sejak diberi mandat sebagai ADUN Kuamut pada 2008, beliau telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Khas bagi memudahkan penduduk kampung mengemukakan permohonan dan seterusnya memperoleh geran tanah.
Beliau berkata sejak menjadi ADUN, hampir 10,000 orang telah berjaya mendapatkan geran tanah.
“Sebahagian lagi masih dalam proses pengukuran di bawah Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS),” katanya ketika beramah mesra dengan media di Pusat Media Kementerian Komunikasi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di sini hari ini.
Masiung berkata rekod tersebut membuktikan komitmen berterusannya dalam memperjuangkan hak tanah penduduk kampung dan isu itu kekal menjadi antara teras utama manifestonya pada PRN kali ini.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) itu turut menegaskan mengenai keperluan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan selepas PRN bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dapat dilaksana secara lebih berkesan.
Beliau mengakui wujud sentimen dalam kalangan rakyat yang mahukan parti tempatan menerajui pentadbiran negeri namun, menegaskan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan itu tidak boleh dipinggirkan.
“Sentimen itu tidak harus menafikan usaha Kerajaan Persekutuan, lebih-lebih lagi di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu prihatin terhadap perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Hanya dalam tempoh tiga tahun, Perdana Menteri telah menunaikan sembilan perkara dalam MA63,” katanya.
Mengenai peluang GRS pada PRN kali ini, Masiung optimis gabungan itu mampu muncul sebagai blok yang memperoleh kerusi paling banyak berbanding parti-parti lain pada PRN Sabah ke-17.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
N57: KUAMUT: SABAH: 18,228
1.Mohina Sidom @ Mohina Ronnie Sidom (UPKO)
2.Ted Kelvin Sudin (PIS)
3.Datuk Masiung Banah (GRS-Gagasan Rakyat)
4.John Sungkiang (PPRS)
5.Norfaizah Chua @ Giak Kiang (Warisan)
6.Duin Daud Tarang (Bebas/IND)
7.Abu Bakar Ellah (KDM)
8.Jevronnie Mandek (STARSABAH)
(2020: Masiung Banah : Bebas/IND : Maj: 978)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial