MELAKA, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Melaka menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah bersiap sedia dengan pelan kontingensi sekiranya terdapat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang terjejas banjir.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata pelan itu termasuk memindahkan pelajar di sekolah terlibat banjir ke pusat peperiksaan lain yang lebih selamat sekali gus memastikan pelajar tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan bertulis SPM yang bermula esok.
"Sebelum ini memang ada berlaku banjir di Melaka, namun ia tidak serius dan tidak menjejaskan pelajar yang menduduki SPM.
"Bagaimanapun, kita tidak akan mengambil mudah dan telah bersiap sedia sekiranya ada sekolah yang tidak dapat digunakan untuk peperiksaan itu dengan pelajar terbabit akan dipindahkan ke sekolah berhampiran," katanya selepas merasmikan Majlis Aspresiasi Pendidikan JPN Melaka di sini hari ini.
Terdahulu pada majlis itu, Rahmad turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri Melaka 2025 kepada Ibrahim Moktar, 71, dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri Melaka 2025 kepada Ismail Mohmd, 62.
Sementara itu, Rahmad berkata Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka yang akan menghimpunkan kira-kira 2,500 pemegang taruh dalam sektor pendidikan akan berlangsung pada 12 dan 13 Dis ini.
Beliau berkata konvensyen itu akan melibatkan penganjuran bengkel mengikut 10 kluster yang membincangkan pelbagai isu pendidikan melibatkan guru dan pelajar dalam usaha mentransformasikan sektor pendidikan negeri ke arah lebih dinamik dan mampan.
Rahmad berkata pemegang taruh terlibat terdiri daripada guru besar, pengetua, guru disiplin, guru kaunseling, pelajar tingkatan empat dan enam, pengerusi persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta wakil pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia dan Majlis Agama Islam Melaka.
"Kita sedia maklum pelbagai isu dalam sektor pendidikan timbul sejak kebelakangan ini, antaranya melibatkan disiplin dan salah laku pelajar selain cabaran dan masalah dihadapi guru serta pelbagai agenda pendidikan yang perlu diberi perhatian.
"Hasil atau keputusan daripada bengkel yang dianjurkan pada konvensyen itu akan dibawa ke peringkat bengkel Kementerian Pendidikan supaya perubahan sewajarnya dapat dilakukan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial