WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN KUTIP RM73.81 JUTA DUTI EKSAIS MINUMAN BERGULA DARI JANUARI HINGGA NOVEMBER 2025 - MOF

24/11/2025 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan mengutip duti eksais ke atas minuman bergula (SSB) sebanyak RM73.81 juta dari Januari sehingga November 2025, menjadikan jumlah keseluruhan hasil duti eksais ke atas SSB sebanyak RM521.35 juta, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF memaklumkan kesemua hasil ini dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, seiring dengan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan.

“Pengenaan duti eksais ke atas SSB berkuat kuasa 1 Julai, 2019 pada kadar 40 sen seliter berdasarkan nilai ambang kandungan gula yang ditetapkan dan kemudiannya dinaikkan kepada 50 sen seliter mulai 1 Jan, 2024 dan terkini kepada 90 sen seliter mulai 1 Jan, 2025.

“Kenaikan kadar ini merupakan antara langkah kerajaan untuk mengurangkan pengambilan minuman tinggi gula dalam kalangan rakyat Malaysia serta menyokong kempen War on Sugar yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” menurut MoF pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Kementerian itu menjawab secara bertulis pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai jumlah SSB yang dikutip dan setakat mana kutipan ini disalurkan kepada pembekalan ubat diabetes dan pelestarian Program Dialisis Peritoneal.

Dalam pada itu, MoF berkata kerajaan juga menyalurkan sebanyak RM25 juta daripada kutipan duti eksais ke atas SSB kepada KKM bagi melaksanakan program advokasi War on Sugar dengan pembelian ubat SGLT-2 .

“Ia bertujuan untuk merawat pesakit Diabetes Mellitus dan menyediakan kemudahan Dialisis Peritoneal untuk merawat pesakit buah pinggang tahap akhir, selaras dengan komitmen kerajaan melalui Belanjawan 2025,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan