WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENJENAYAH DITEMBAK MATI DALAM KEJADIAN BERBALAS TEMBAKAN DENGAN POLIS DI DENGKIL

25/11/2025 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki disyaki penjenayah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di tepi jalan Batu 8, Jalan Banting-Dengkil, Dengkil, dekat sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata kejadian berlaku pada 8.10 malam ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) menjalankan operasi mengesan dan mencegah kes samun di sekitar Banting, Dengkil dan Sepang, dekat sini.

Beliau berkata ketika rondaan menggunakan kenderaan pasukan, anggota D9 terserempak sebuah Perodua Myvi berwarna perak dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika pasukan serbuan cuba menahan, tiba-tiba suspek telah bertindak melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah pasukan polis. Pasukan polis telah membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi dan siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai warga tempatan, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

“Pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemukan sepucuk senjata api jenis Colt 45, tujuh paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah dan tiga butir peluru,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu, pada sidang media di Sepang hari ini Kumar berkata suspek dipercayai ketua kumpulan samun yang dianggotai lebih kurang 10 orang.

Beliau berkata kumpulan itu menyasarkan rumah kediaman, tapak projek atau kilang e-waste sebagai sasaran, dengan bersenjatakan pistol, parang atau batang besi.

"Kumpulan ini dipercayai aktif sejak 2022 dan jumlah kes samun yang melibatkan mereka adalah sebanyak 19 kes, iaitu 17 di Selangor dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

"Untuk tempoh 2022 hingga Oktober lepas, anggaran kerugian hasil kegiatan samun kumpulan itu berjumlah RM2.53 juta," katanya.

Kumar berkata pihak polis telah mengenal pasti saki-baki ahli kumpulan yang terlibat dan usaha untuk mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan