WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA AKTIFKAN BILIK GERAKAN KETIKA KRISIS BANJIR HAT YAI SEMAKIN BURUK

25/11/2025 08:14 PM

BANGKOK, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Luar Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan di Putrajaya bagi memperkukuh penyelarasan serta memastikan bantuan berterusan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hat Yai dan kawasan sekitarnya.

Kementerian itu berkata pengaktifan Bilik Gerakan berkenaan adalah susulan usaha berterusan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, yang kedua-duanya berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya serta terus memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia di lapangan.

“Setakat ini, lebih 6,300 rakyat Malaysia telah selamat pulang ke tanah air, dan kebanyakan mereka yang masih berada di Hat Yai telah dikenal pasti serta menginap di hotel bertingkat,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kementerian Luar berkata rakyat Malaysia di kawasan terjejas yang memerlukan bantuan dan tidak dapat menghubungi wakil-wakil Malaysia di Thailand disaran segera menghubungi Bilik Gerakan di talian +603-8887 4570 atau dutyofficer@kln.gov.my.

“Mereka yang belum mendaftar atau menerima bantuan dinasihatkan menghubungi sama ada Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan di Bangkok tanpa berlengah,” katanya.

Sementara itu, Kabinet Thailand pada Selasa mengisytiharkan banjir teruk di Daerah Hat Yai, wilayah Songkhla, sebagai “situasi darurat” susulan keadaan yang semakin meruncing. Perdana Menteri Anutin Charnvirakul mengesahkan bahawa bantuan yang besar telah digerakkan di seluruh kawasan terjejas.

“Bagi mana-mana lokasi yang memerlukan bantuan segera tetapi belum dapat dicapai pasukan penyelamat, jentera dan peralatan tambahan akan digerakkan bersama tenaga kerja yang diperkukuh seperti diarahkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pada Selasa.

Terdahulu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) melaporkan puluhan ribu penduduk terjejas, dengan 1,228 isi rumah di 16 daerah kecil  telah dipindahkan dan 697,231 orang terjejas di wilayah Songkhla.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan