KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Sebanyak 7,480 permohonan subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pengguna bot di Sarawak telah diterima oleh Pejabat Perbendaharaan Malaysia Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep berkata daripada jumlah itu, sebanyak 5,765 permohonan didapati layak, manakala selebihnya masih dalam proses penilaian.
Beliau berkata setakat ini, kementeriannya bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Pejabat Perbendaharaan bagi menyelaras pelaksanaan program berkenaan.
“Usaha pendaftaran pemilik bot persendirian dan bot panjang turut dipergiatkan bersama Pejabat Residen Bahagian dan Pejabat Daerah.
“Ini merupakan satu daripada usaha Kerajaan Sarawak bagi memastikan penduduk luar bandar dan pedalaman yang benar-benar layak tidak tercicir daripada menikmati subsidi petrol BUDI95,” katanya.
Beliau menjawab soalan Anyi Jana (GPS-Ngemah) yang ingin mengetahui langkah diambil kerajaan negeri untuk melancarkan pelaksanaan inisiatif subsidi petrol di kawasan luar bandar.
Pada 13 Okt lalu, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa kelayakan subsidi BUDI95 diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan untuk memastikan manfaat tersebut dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial