KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Berikut adalah artikel oleh Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah mengenai lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Afrika.
Dalam novel klasik Through the Looking-Glass karya Lewis Carroll memberikan aksiom (pernyataan yang diterima umum) - bahawa mereka yang “enggan berganjak” sebenarnya “mengundur ke belakang”, kemudian mencetuskan hipotesis Red Queen, yakni metafora yang menekankan keperluan penyesuaian, inovasi dan pembelajaran berterusan dalam kepantasan perubahan dunia.
Afrika tidak berisiko terjerumus ke dalam negara “perlahan” seperti digambarkan dalam rabbit hole of Alice. Sebaliknya, Afrika bergerak pantas menyesuaikan diri, mengasimilasikan dan melaksanakan transformasi.
Negara-negara utama benua itu semakin berpengaruh dalam politik antarabangsa, bandar-bandarnya rancak menjalani kegiatan komersial, dan penduduknya yang terdiri golongan muda bersedia menerajui masa hadapan.
Bagi negara perdagangan seperti Malaysia, mengabaikan perkembangan itu hanya akan merugikan kita sendiri. Atas sebab itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun sedang berkempen untuk pilihan raya negeri Sabah beliau tetap melaksanakan lawatan ke tiga negara, iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.
Pertimbangan asasnya mudah: trajektori ekonomi Afrika kini bersilang dengan kepentingan strategik Malaysia dalam kaedah yang tidak lagi boleh disifatkan sampingan.
Bermula di Ethiopia. Ibu negaranya Addis Ababa, sebuah bandar yang sedang melalui proses transisi, menyaksikan bangunan-bangunan tinggi dan kren binaan mewarnai ruang udaranya.
Sejak awal, lawatan itu kelihatan seolah-olah peribadi. Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed menyambut ketibaan Anwar di lapangan terbang dan kemudian memandu sendiri kenderaan dan membawa beliau melawat bandar, satu isyarat luar biasa dalam dunia diplomasi yang lazimnya kelihatan menjemukan.
Persinggahan pertama di Muzium Sains Ethiopia sudah cukup memberikan gambaran yang jelas. Ethiopia mungkin dikenali sebagai tanah asal usul manusia, namun negara itu bertekad untuk menampilkan identiti berorientasikan masa hadapan
Rundingan dengan Abiy berlangsung “kandid” dan substantif, merangkumi hal-hal berkaitan taman perindustrian, pemprosesan agro, penerbangan, kewangan digital dan cabaran melengkapkan golongan muda dengan kemahiran moden.
Meskipun dianggap negara kurang membangun oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pembangunan pesat Ethiopia mencerminkan besarnya cabaran nasionalnya, yang disokong oleh cita-cita negara yang jelas.
Cadangan Dialog AU-Malaysia
Kesatuan Afrika (AU) yang beribu pejabat di Ethiopia memberikan dimensi tersendiri mengenai keterlibatan.
Pengerusi Suruhanjaya AU mencadangkan penganjuran Dialog AU-Malaysia pada tahun hadapan dan menggalakkan Malaysia memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh kerjasama ASEAN-AU.
Akses sebegini, sama ada Ethiopia sebagai gerbang pintu masuk Horn of Africa atau ke pusat institusi AU, menjadi faktor Malaysia membuka semula kedutaannya di negara itu pada September selepas 42 tahun.
Seandainya Addis Ababa menyediakan kekuatan institusi, manakala Afrika Selatan meluaskan pengaruh diplomatik dan ekonomi di seluruh dunia.
Johannesburg, sebagai bandar perindustrian utama di rantau ini, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin G20 pertama di tanah Afrika yang menarik delegasi berpengaruh ke sebuah bandar yang sejak sekian lama menjadi pusat “graviti” tumpuan benua.
Meskipun Amerika Syarikat (AS) memboikot sidang itu, namun tenyata ia tidak menjejaskan kemasyhuran, semangat dan impak praktikal perbincangan.
Malah, menurut semua laporan, sidang itu mencatat kemenangan bagi multilateralisme selepas menolak bantahan AS untuk mengeluarkan deklarasi.
Sementara itu, dalam pertemuan kedua-dua pemimpin, Anwar dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa membincangkan mengenai hal berkaitan pembuatan, kerjasama teknologi dan usaha jangka panjang meningkatkan kedua-dua ekonomi ini kepada rantaian nilai lebih tinggi.
Kedua-dua pihak melihat adanya ruang untuk saling melengkapi dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan. Tidak dinafikan, Afrika Selatan menghadapi cabaran besar, kadar jenayah tinggi dan keupayaan kerajaan yang tidak sekata.
Namun, skala dan kekukuhan industrinya memberikan potensi lebih besar berbanding masalah yang kadang-kadang ditimbulkannya.
Pada sidang kemuncak itu, Anwar menggunakan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk mengutarakan isu yang membelenggu banyak ekonomi membangun.
Beliau memberikan amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) “akan mengubah acuan pasaran buruh pada kadar yang sukar ditangani institusi” dan menegaskan bahawa “ketahanan datang daripada kesiapsiagaan secara bersama, bukannya terasing”.
Anwar turut menekankan bahawa pembinaan daya tahan global tidak boleh bersandarkan kelesuan fiskal. Banyak negara membangun kini membelanjakan lebih untuk membayar hutang berbanding pendidikan atau pelaburan sekali gus kekurangan kapasiti untuk melabur lebih awal untuk menghadapi gangguan.
Bank pembangunan multilateral, perlu bertindak lebih pantas dan bekerjasama dengan negara bagi menyokong pelaburan yang benar-benar membina ketahanan.
Johannesburg juga membuka ruang penglibatan dengan sektor swasta di Afrika Selatan. Dalam forum perniagaan yang dihadiri pemimpin industri Afrika Selatan dan firma Malaysia, perbincangan tertumpu kepada sektor yang mempunyai banyak kelebihan komersial, termasuk rantaian bekalan automotif dan EV, perlombongan dan pemprosesan mineral, tenaga boleh baharu, perkhidmatan digital serta logistik.
Menghubungkan Generasi Muda Afrika
Industri ini ialah tempat firma Afrika Selatan beroperasi di seluruh rantau, dan syarikat Malaysia melihat ruang untuk berkembang.
Negara yang menjadi persinggahan terakhir, iaitu Kenya, menyerlahkan warna-warni keusahawanan yang tersendiri.
Nairobi sering digambarkan sebagai hab terknologi kewangan Afrika Timur, menyaksikan kelancaran penggunaan wang mudah pindah dan platform digital.
Potensi ekonominya hadir bersama sebuah bandar yang berkembang lebih pantas berbanding infrastruktur, namun ia memberikan daya penggerak dan tenaga improvisasi kepada ibu negara Kenya itu.
Perbincangan dengan Presiden William Ruto memfokuskan kerjasama digital, perumahan, pendidikan dan perdagangan.
Kenya berminat dengan pengalaman Malaysia dalam perumahan mampu milik dan pendidikan teknikal. Firma Malaysia pula melihat peluang dalam sektor digital dan agri-tech Nairobi, yang ramai anggap sebagai gerbang untuk memasuki Afrika Timur dan Tengah.
Kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan hubungan kepada tahap perkongsian strategik, dengan iltizam bahawa kemajuan sebenar bergantung kepada pelaksanaan berterusan.
Lawatan itu tidak terhad kepada tataurus negara dan perdagangan tetapi juga bertujuan mendekati generasi muda Afrika.
Di Addis Ababa, Anwar berucap pada forum bersama Majlis Belia Malaysia dan Ethiopia, menggesa belia Afrika melihat diri mereka sebagai “pencetus perubahan” dan bukannya sekadar pemerhati.
Ini fakta, bukan pujian kerana lebih 60 peratus penduduk benua itu berusia bawah 25 tahun. Pada perhimpunan pendidikan tinggi di Nairobi, Anwar menekankan asas kemanusiaan dalam kemajuan, menyatakan bahawa “kerajaan berupaya membina institusi, namun komuniti ilmu yang menjadi penggerak negara”.
Menjelang 2035, Afrika dijangka menambah tenaga kerja global lebih banyak berbanding negara lain di dunia, maka memupuk hubungan Malaysia dengan golongan muda menjadi pelaburan strategik yang membuka peluang untuk tahun-tahun akan datang.
“Dalam satu pesanan penting mengenai perlunya pendidikan yang berasaskan nilai, Anwar menyamakan pendidikan yang gagal memberikan kesan kepada jiwa sebagai “pembelajaran mekanikal semata-mata” dan memberikan amaran bahawa pemerolehan ilmu tanpa nilai “akan mengikis nilai kemanusiaan kita”.
Bagi Anwar, ini bukan perkara baharu, sejajar dengan pendirian konsistennya bahawa pendidikan sejati perlu membina karakter dan intelek, falsafah yang jelas dalam karya utamanya The Asian Renaissance sehingga buku terbaharunya Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times.
Capaian Strategik dan Ekonomi
Bagaimanapun, mesej yang terpancar pada pameran pendidikan tinggi Nairobi amat bertepatan pada masanya.
Jika di Sidang Kemuncak G20 Anwar memberikan amaran tentang gangguan AI terhadap pekerjaan, di Nairobi kebimbangannya tertumpu pada kelajuan dan skala AI yang seandainya tidak dikawal, boleh mencetuskan ancaman kepada kewujudan manusia.
Contohnya, kemungkinan nilai kemanusiaan terpesong jika masyarakat menyerahkan kuasa menentukan kebenaran atau mengawal maklumat yang diterima kepada AI, tidak termasuk “kekuasaan algoritma” yang mungkin mengatasi manusia.
Afrika, seperti Asia, kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan etnik.
Dengan mengambil kira gesaan untuk menetapkan batasan AI dan kritikan terhadap sistem pendidikan tradisional yang memerlukan pembaharuan, jelas bahawa mengabaikan keperluan perubahan menyeluruh dan penilaian semula adalah tidak wajar.
Pada akhirnya, kepentingan tiga bandar ini terletak pada kelebihan strategik dan ekonomi yang masing-masing tawarkan. Addis Ababa menghubungkan Malaysia dengan pusat institusi Afrika serta pasaran pesat membangun di Horn of Africa.
Johannesburg memberikan laluan kepada negara paling berpengaruh dan ekonomi paling maju dalam perindustrian di Afrika Selatan, bersama firma serantau yang berpangkalan di bandar itu. Nairobi pula menyediakan pintu masuk ke koridor inovasi dan perkhidmatan Afrika Timur, dengan perkembangan pantas perniagaan digital.
Apabila digabungkan, ia menawarkan peluang yang kini boleh Malaysia terokai dengan lebih terancang dan berfokus.
Pada peringkat serantau, AU mampu memberikan ASEAN suara kolektif di pentas global melalui platform berasaskan kerjasama Selatan-Selatan, manakala ASEAN pula boleh membuka peluang luas kepada negara Afrika untuk memperluas capaian ekonomi.
Perkongsian seumpama itu menjanjikan sinergi dan manfaat simbiotik yang besar, namun perbincangan lanjut wajar dilakukan dalam forum lain.
Buat masa ini, boleh disimpulkan bahawa meskipun dasar luar tidak mengubah nasib negara sekelip mata, namun ia mampu memperdalam rangkaian hubungan dan menyediakan ruang menyerap kejutan apabila keadaan global menegang.
Dengan erti kata lain, dasar luar memainkan fungsi terbaik apabila ia mewujudkan ruang yang lebih luas untuk bergerak. Lawatan berkenaan berjaya mencapai matlamat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial