WILAYAH - TIMUR > BERITA

PIALA MALAYSIA: DUA WAKIL KELANTAN TEKAD BANGKIT, ENGGAN KIBAR BENDERA PUTIH

23/01/2026 10:59 AM

KOTA BHARU, 23 Jan (Bernama) -- Dua pasukan dari Kelantan yang beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini belum mengibarkan bendera putih meskipun masing-masing tewas pada perlawanan pertama pusingan 16 minggu lepas.

Kelantan The Real Warriors FC (TRW FC) akan berdepan Selangor FC pada perlawanan timbal balik di Stadium Petaling Jaya malam esok, manakala Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal bertemu Brunei DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Sabtu ini.

Penolong Ketua Jurulatih TRW FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui misi sukar pasukannya selepas tewas 1-2 kepada Selangor FC pada aksi pertama di Kota Bharu, Isnin lepas.

“Kelebihan kini milik Selangor. Kami tidak boleh seri atau tewas untuk memastikan tempat ke suku akhir,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Akmal Rizal berkata walaupun bukan tugas mudah, pasukannya tidak akan mengalah dan barisan jurulatih akan menyediakan perancangan terbaik dengan memanfaatkan sepenuhnya kemampuan pemain.

Beliau berkata pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, pasukannya telah mempamerkan aksi terbaik menentang Selangor FC yang dibarisi pemain tempatan dan import berkualiti.

Akmal Rizal turut mengakui TRW FC berdepan kekangan pemain akibat kecederaan, namun percaya mampu menurunkan barisan terbaik bagi mengelak kekalahan kedua.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KRW FC, Irfan Bakti Abu Salim berkata pasukannya masih mempunyai 90 minit untuk mengubah keputusan menentang DPMM FC.

Beliau berkata kekalahan 0-2 di laman sendiri pada Sabtu lepas bukan penamat kepada perjuangan pasukannya.

“Kami perlu menjaringkan (kelebihan) tiga gol untuk mara dan pemain sedar cabaran besar yang menanti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan