WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SKUAD IHSAN MADANI DILANCARKAN SEIRING MUSIM BANJIR MONSUN TIMUR LAUT

25/11/2025 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Skuad Ihsan MADANI peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) 2025, yang menggabungkan sukarelawan daripada pelbagai agensi di bawah jabatan itu bagi membantu masyarakat ketika bencana, dilancarkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pelancaran skuad ini tepat pada masanya memandangkan negara sedang menghadapi Monsun Timur Laut dan peningkatan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa negeri.

“Selepas ini, skuad akan menyusun perancangan dan menentukan penugasan mengikut negeri terjejas. Skuad ini sebenarnya telah wujud sebelum ini, namun pada tahun ini ia disusun secara lebih berstruktur,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran bersempena Himpunan Agensi Hal Ehwal Agama (MAHEA) 2025 di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Mohd Na’im turut menggalakkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan kepada Tabung Musa’adah Bencana, yang diuruskan oleh JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia, bagi membantu mangsa banjir, dengan maklumat akaun akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya percaya rakyat Malaysia terkenal dengan sifat pemurah, dan sumbangan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu mangsa yang terjejas,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan buku Islam Mekar Bersama Malaysia MADANI, yang merangkumkan usaha Transformasi Al-Falah melibatkan agensi Hal Ehwal Agama sepanjang tiga tahun lepas.

Mohd Na’im berkata buku itu menjadi dokumentasi penting pencapaian jabatan serta bukti bahawa Syiar Islam dan agenda pembangunan ummah terus diperkasa di bawah kerangka Malaysia MADANI, selain menepis dakwaan kononnya kedudukan Islam sedang tercabar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan