WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERKESO, KKM NILAI KEBOLEHLAKSANAAN PROTON BEAM THERAPY UNTUK PEKERJA HIDAP KANSER

25/11/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) secara berterusan meneroka potensi kerjasama strategik bersama kementerian lain terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalankan penilaian kebolehlaksanaan dalam memperkenalkan teknologi Proton Beam Therapy (PBT) di Malaysia sebagai pilihan rawatan untuk pekerja yang menghidap kanser.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata teknologi rawatan kanser berketepatan tinggi itu mampu mengurangkan kesan sampingan jangka panjang berbanding kaedah konvensional seperti kemoterapi dan radioterapi biasa.

“Antaranya ketepatan sasaran radiasi yang tinggi, potensi mengurangkan risiko kesan sampingan jangka panjang, khususnya bagi kanser yang melibatkan kawasan kritikal seperti otak, mata, rongga kepala serta dalam rawatan kanak-kanak,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata dengan sokongan KKM dari aspek protokol klinikal, kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti, latihan tenaga pakar dan penyelarasan dasar berkaitan, KESUMA percaya bahawa Malaysia berpotensi besar menjadi antara negara yang mampu menawarkan rawatan PBT pada masa depan.

“Kita juga mengambil maklum bahawa teknologi ini telah pun dibangunkan dan digunakan di negara jiran seperti Thailand dan Singapura, menunjukkan bahawa ia bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan,” katanya.

Abdul Rahman berkata sejak 2011 hingga 2024, PERKESO merekodkan 384,371 kes penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk 42,054 kes kanser yang mewakili 10.92 peratus daripada semua tuntutan, menjadikan kanser antara punca utama kehilangan upaya pekerja. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan komited memastikan pertumbuhan pendapatan yang mampan bagi mengimbangi tekanan kos sara hidup, selaras dengan syor Tinjauan Ekonomi 2026 yang mencadangkan mekanisme kenaikan gaji tahunan lebih teratur dan berstruktur bagi pekerja swasta mengikut kadar inflasi dan produktiviti.

Beliau berkata perhatian turut diberikan kepada jurang gaji antara negeri dan hubungannya dengan pekerjaan informal serta guna tenaga bukan standard termasuk pekerjaan gig, yang akan diteliti secara menyeluruh dalam kajian semula gaji minimum dan analisis reformasi gaji yang sedang dijalankan.

“Berkenaan Pelan Pelarasan Gaji Jangka Panjang, MPGN (Majlis Perundingan Gaji Negara) sedang melaksanakan analisis mendalam untuk mereformasi struktur gaji secara menyeluruh dengan kerjasama rapat pihak industri,” katanya sambil menjelaskan bahawa kajian itu turut menilai implikasi terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta keperluan mewujudkan kaedah pengukuran produktiviti yang seragam merentasi sektor.

Menyentuh perbandingan antara inflasi dan peningkatan gaji sebenar, Abdul Rahman berkata MPGN melalui Jawatankuasa Kerja sedang meneliti indikator tersebut serta indikator berkaitan sebagai asas kepada sebarang cadangan penambahbaikan. 

Beliau berkata perkara itu turut dibincangkan secara berterusan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), yang juga anggota jawatankuasa berkenaan, bagi memastikan pemantauan dan analisis dijalankan secara kolaboratif dan berkesan.

Pada masa sama, katanya KESUMA juga sedang meneliti penubuhan Unit Pemantauan Pekerja Tidak Formal bagi menyokong penguatkuasaan Akta Pekerja Gig yang dijangka berkuat kuasa tahun depan.

“Secara prinsipnya, KESUMA melalui PERKESO mahukan setiap pekerja gig mendapat hak perlindungan sosial sama rata seperti pekerja formal,” katanya sambil menambah setakat 21 Nov lepas, sebanyak 298,827 pekerja gig mencarum secara aktif di bawah LINDUNG Kendiri.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1,828,370,200 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan majoriti suara bersetuju selepas dibahas 15 Ahli Parlimen.

Persidangan bersambung esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan