GUA MUSANG, 25 Nov (Bernama) -- Kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini terputus hubungan selepas jambatan yang menjadi laluan utama di situ dinaiki air berikutan hujan berpanjangan sejak semalam.
Penghulu Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis Blok A Rodzi Asod berkata paras Sungai Nenggiri yang terus meningkat itu telah menenggelamkan jambatan sementara yang merentasi di Kuala Betis, laluan yang menghubungkan penduduk dari Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob.
“Saya dimaklumkan oleh beberapa tok batin di kawasan pedalaman termasuk Lojing, Pos Bihai dan Pos Belatim bahawa cuaca di sana masih hujan hingga kini.
“Setakat pagi tadi, paras Sungai Nenggiri terus menunjukkan peningkatan dan di Kuala Betis terdapat beberapa kawasan yang mula dinaiki air serta tidak dapat dilalui penduduk, termasuk jambatan Sungai Bawik di Kampung Bawik, jambatan Sungai Kalek di Kampung Jias serta semua jambatan yang menghubungkan Kampung Seladak, Kampung Langsat dan Kampung Depak,” katanya kepada pemberita di sini.
Rodzi berkata walaupun beberapa laluan terjejas, situasi ketika ini masih terkawal dan kediaman penduduk belum dinaiki air.
“Setakat ini, penduduk masih belum terjejas dan berada di zon hijau, namun kami sudah bersiap siaga dan bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya.
Sementara itu, penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Belatim, Rahimi Dolah, 46, berkata hujan selama tiga hari berturut-turut menyebabkan jalan di kawasan pedalaman menjadi becak dan berselut tebal.
“Hujan kadang-kadang turun lebat dan berpanjangan sejak Ahad hingga hari ini menyebabkan tanah menjadi lembut dan rosak. Penduduk di pedalaman kini lebih berhati-hati dan mengehadkan aktiviti mencari hasil sungai kerana bimbang risiko kejadian kepala air,” katanya.
Tinjauan Bernama setakat petang tadi mendapati hujan masih turun di kawasan bandar Gua Musang, manakala mendung di Kuala Betis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial