PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menyelamatkan seorang wanita Indonesia yang dipercayai mangsa pemerdagangan manusia selama hampir 16 tahun dalam serbuan di sebuah kediaman di Batu Caves, Selangor, Isnin lepas.
Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata mangsa berusia 56 tahun itu ditemukan bersembunyi di bawah sebuah kereta pacuan empat roda atas arahan majikan bagi mengelak dikesan semasa pemeriksaan.
“Mangsa dilaporkan bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa memiliki pas yang sah.
“Berdasarkan pengakuan awal, mangsa hanya dijanjikan gaji RM600 sebulan namun tidak menerima bayaran sejak dua tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata mangsa trauma kerana sering dimarah dan pernah dipukul selain tidak dibenarkan menyimpan pasport, menggunakan telefon bimbit atau menghubungi keluarga serta dipaksa bekerja tanpa rehat sehingga terpaksa mencuri masa untuk tidur.
Beliau berkata pihaknya menahan majikan mangsa, iaitu lelaki warga tempatan berusia 51 tahun yang mengaku mendapatkan khidmat wanita itu melalui ahli keluarga terdekat.
“Operasi oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen dibuat berdasarkan maklumat sumber,” katanya.
Zakaria berkata operasi menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan individu disabitkan bersalah boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat bagi kesalahan lebih berat.
Orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan eksploitasi warga asing ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA menerusi talian 03-8880 1471 atau e-mel urusetia_p@imi.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial