MELAKA, 26 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menahan sebuah kenderaan mewah Toyota Vellfire yang dikesan menggunakan nombor pendaftaran milik Perodua Kancil dalam operasi harian di Jalan Tun Mutahir, di sini, semalam.
Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata kenderaan milik sebuah syarikat swasta itu dikesan kira-kira pukul 4 petang sebelum anggota penguat kuasa mengekori dan menahannya untuk pemeriksaan.
“Hasil semakan mendapati nombor pendaftaran yang dipamerkan adalah milik Perodua Kancil sendiri. Lelaki berusia 39 tahun itu mengaku menggunakan nombor pendaftaran berkenaan sejak Lesen Kenderaan Motor (LKM) Toyota Vellfire tamat tempoh pada Januari 2025.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati kenderaan itu tidak mempunyai perlindungan insurans sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Zarina berkata beberapa saman telah dikeluarkan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan, tiada insurans sah, dan LKM tamat tempoh. Kenderaan itu turut disita untuk tindakan lanjut.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang sengaja melanggar undang-undang jalan raya. Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang memalsukan nombor pendaftaran atau mengabaikan kewajipan memperbaharui LKM dan insurans kerana ini penting bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial