WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HUKUMAN PENJARA 35 TAHUN, 24 SEBATAN PENGANGGUR BUNUH ADIK, IBU SAUDARA KEKAL

26/11/2025 04:42 PM

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 35 tahun dan 24 sebatan terhadap seorang penganggur bagi kesalahan membunuh adik lelaki dan ibu saudaranya sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Nordin Hassan sebulat suara menolak rayuan akhir Azman Wahab, 41, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Nov 2024.

"Mahkamah menolak permohonan perayu untuk memasukkan bukti baharu... rayuan perayu untuk mengetepikan sabitan serta hukuman Mahkamah Rayuan ditolak, dan sabitan serta hukuman penjara 35 tahun dan 24 sebatan yang diputuskan Mahkamah Rayuan dikekalkan," katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Terdahulu, peguam Ai Cha Ran yang mewakili Azman memohon agar bukti baharu iaitu tiga laporan berkaitan kes itu dikemukakan bagi menyokong rayuan anak guamnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Rafidah Zainuddin membantah permohonan tersebut kerana laporan itu bukan bukti baharu memandangkan ia telah dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan.

Pada 25 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan lelaki itu atas kesalahan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaaan dan menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun. 

Pada 14 Nov 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk mensabitkan Azman atas pertuduhan asal iaitu membunuh setelah memutuskan terdapat merit dalam rayuan pendakwaan.

Azman dituduh membunuh Muhammad Azwan, 26, di ruang tamu rumah mereka di Kampung Lanai, Parit Panjang, Baling, Kedah pada 11 pagi 2 Okt 2016.

Dia juga didakwa membunuh Rokiah Abdullah, 54, di luar rumah pada hari dan lokasi sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun maksimum 40 tahun, dan sebatan tidak melebihi 12 kali jika tidak dihukum gantung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan