KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Seramai 556,300 individu kini menerima bantuan kebajikan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM2.28 bilion setahun, meningkat ketara berbanding lebih 200,000 penerima sebelum ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata peningkatan jumlah penerima mencerminkan keperluan menilai semula kadar kelayakan pendapatan berikutan tekanan kos sara hidup, terutamanya di kawasan bandar.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan RM1,169 sebagai rujukan, namun ia bukan satu-satunya kriteria. Kita turut menilai keperluan dan keadaan pemohon,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai peratusan penerima bantuan yang produktif dan tidak produktif, keberkesanan program keluar daripada kemiskinan, serta keperluan menyemak semula kadar kelayakan pendapatan berikutan kos sara hidup yang meningkat.
Nancy berkata cadangan menyemak semula kelayakan pendapatan itu pernah dibangkitkan, dan kementerian bersedia mengusulkannya dengan sokongan Ahli Parlimen.
Beliau turut memaklumkan JKM akan memperkenalkan sistem baharu menjelang awal 2027 bagi memastikan bantuan kebajikan bulanan disalurkan lebih tepat waktu, berikutan sistem sedia ada telah mencapai had maksimum.
“Kelemahan sistem lama menyebabkan sebahagian kecil penerima masih menerima bantuan selepas tarikh sasaran, walaupun JKM menetapkan pembayaran selesai sebelum 10 haribulan setiap bulan. Hal ini berlaku kerana sistem sedia ada memerlukan penambahbaikan menyeluruh, dan kini JKM sedang membangunkan sistem baharu,” katanya.
Beliau menegaskan pembayaran ketika ini dilakukan secara Electronic Funds Transfer (EFT) terus ke akaun bank pilihan penerima.
Nancy berkata demikian menjawab soalan asal Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai langkah memastikan bantuan kebajikan seperti bantuan kanak-kanak, elaun Orang Kurang Upaya (OKU) dan bantuan warga emas disalurkan tepat pada waktunya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial