WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIADA NEGERI DIPINGGIRKAN DALAM PENDIDIKAN - ZAMBRY

26/11/2025 03:02 PM

TAWAU, 26 Nov (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa terdapat negeri tertentu dipinggirkan dalam soal pendidikan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau menegaskan kerajaan sentiasa memastikan akses pendidikan tinggi adalah saksama untuk semua rakyat, tanpa mengira negeri asal masing-masing.

“Kita tidak membezakan dari mana mereka datang. Mereka semua anak Malaysia yang perlu diberikan hak untuk mendapat pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Eksplorasi TVET Komuniti, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Kolej Komuniti Tawau hari ini.

Zambry berkata menjadi dasar kerajaan MADANI untuk memberi tumpuan kepada penyediaan pendidikan berkualiti dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara.

Sebagai bukti komitmen tersebut, beliau berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM1 bilion khusus untuk pembangunan pendidikan tinggi di Sabah.

“Jangan kita dengar cerita-cerita yang bukan-bukan. Kita hidup sebagai anak Malaysia, dan kita mahu memberikan yang terbaik kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan sokongan rakyat penting untuk memastikan segala usaha kerajaan dalam memartabatkan pendidikan dapat diteruskan dengan jayanya.

Bertemakan “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, program berkenaan diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif advokasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat akar umbi.

Lebih 1,000 pengunjung, termasuk pelajar sekolah, belia dan komuniti setempat hadir serta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan