ALOR SETAR, 27 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga tempatan berusia 70 tahun maut manakala 18 lagi kru berjaya diselamatkan apabila sebuah vesel yang dinaiki mereka hampir karam di perairan timur laut Pulau Perak, Yan semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata semua kru termasuk seorang wanita berjaya dikesan KD Ledang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan selepas menerima laporan pagi semalam.
Beliau berkata KD Ledang kemudian tiba di Jeti Markas Wilayah Laut 3 TLDM (MAWILA 3) kira-kira 6 pagi dan semua mangsa berumur 15 hingga 53 tahun kemudiannya menjalani pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selesai pemeriksaan, 18 mangsa yang selamat diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Romli berkata kru kapal berkenaan terdiri daripada tiga warga Myanmar, seorang rakyat Bangladesh dan selebihnya warga tempatan dengan OPS CARILAMAT kini ditamatkan sepenuhnya setelah kesemua mangsa ditemukan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat atas kerjasama dan dedikasi sepanjang operasi berlangsung, selain menegaskan komitmen untuk terus meningkatkan kesiapsiagaan serta koordinasi keselamatan di perairan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial