WILAYAH - SABAH > BERITA

OPERASI APMM BERI IMPAK POSITIF INDUSTRI PELANCONGAN SEMPORNA

27/11/2025 12:30 PM

 

Oleh Norazlina Jindeh

SEMPORNA, 27 Nov (Bernama) -- Operasi berterusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama agensi lain di Semporna, memberikan impak positif kepada industri pelancongan di daerah itu, menurut Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Amir Shubli.

Beliau berkata setiap hari APMM menjalankan rondaan dengan mengerahkan tiga buah bot APMM bagi memastikan semua bot pelancong sentiasa berada dalam keadaan selamat dan pada masa sama tidak melakukan pelanggaran peraturan.

“Itu antara satu matlamat APMM, bagi memastikan industri pelancongan di Semporna ini berterusan dan paling utama memantau aspek keselamatan khususnya mencegah penculikan untuk wang tebusan (KFR),” katanya kepada Bernama di Kompleks APMM Semporna, hari ini.

Amir berkata perkara itu menjadi komitmen APMM dalam menjaga perairan Semporna seluas kira-kira 1,200 batu nautika persegi, meliputi 52 buah pulau yang berpenghuni dan tidak berpenghuni.

Beliau berkata sebelum ini beberapa negara luar telah mengeluarkan perintah larangan perjalanan ke Semporna atas faktor keselamatan, namun tahap keselamatan yang tinggi mampu memberi keyakinan kepada rakyat negara itu untuk datang ke Semporna.

Pada 5 Julai, media melaporkan 15 wakil diplomatik dan perwakilan asing dari 10 negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Ireland, Jerman, Kanada, New Zealand, China, Korea Selatan dan Sepanyol, menyertai siri lawatan sehari ke lokasi utama pelancongan di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

ESSZone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Amir berkata APMM juga berdepan dengan cabaran apabila modus operandi para penyeludup menggunakan pelbagai taktik, namun kerjasama antara agensi mampu “menghidu” gerak-geri penyeludup berkenaan.

Beliau berkata barang-barang yang diseludup biasanya barangan di bawah senarai harga kawalan  seperti diesel, petrol dan minyak masak, selain itu rokok serta barangan kosmetik.

“Tahun lepas APMM merekodkan sebanyak 40 kes termasuk yang paling banyak iaitu aktiviti penyeludupan, selain pengeboman ikan dan kesalahan bot nelayan yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.

Sementara itu, Bernama berpeluang menyertai operasi rondaan yang dijalankan oleh APMM di kawasan perairan Semporna dan kebanyakkannya memberikan kerjasama ketika pemeriksaan dokumen terhadap bot dan pelancong, sebelum dibawa ke pulau-pulau sekitar Semporna.

Pemeriksaan bot besar serta dokumen nelayan juga dijalankan terhadap awak-awak yang berada di atas kapal, bagi memastikan mereka bukan pendatang asing tanpa izin yang diseludup masuk ke Sabah.

Semporna mempunyai kira-kira 170,000 penduduk berada di bawah Parlimen Semporna dengan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Senallang, Bugaya dan Sulabayan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.p.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan