WILAYAH - SABAH > BERITA

PENGALAMAN SEKTOR AWAM, SWASTA “TAWARAN” PENGIRAN SAIFUDDIN DI PANTAI MANIS

27/11/2025 10:27 AM

Oleh Rohana Nasrah

PAPAR, 27 Nov (Bernama) -- Berbekalkan pengalaman luas dalam sektor awam dan korporat, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir tampil dengan pendekatan lebih realistik dan menyeluruh bagi memajukan kawasan itu.

Bekas Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) itu berkata dinamika pembangunan pesat di Pantai Manis memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja memahami keperluan rakyat, tetapi juga memiliki kemampuan untuk merancang dan mengurus pembangunan dengan teratur.

Sehubungan itu, Pengiran Saifuddin berkata beliau akan memanfaatkan pengalaman kerjaya selama 40 tahun memegang jawatan penting dalam pelbagai organisasi, bagi membangunkan potensi besar DUN Pantai Manis dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

“DUN Pantai Manis sedang pesat membangun dengan potensi sangat hebat dan aktif dalam bidang keusahawanan, pendidikan, modal insan dan ini harus digembleng untuk memastikan ia dapat dioptimumkan demi manfaat kawasan terutama golongan muda.

“Inilah yang akan saya beri fokus,kesejahteraan rakyat, menyediakan infrastruktur asas, pertanian selain melihat keperluan kemudahan sukan dan riadah sekiranya diberi mandat di DUN Pantai Manis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini,” katanya kepada Bernama.

Pengiran Saifuddin pernah menggalas peranan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dari 1997 hingga 2010 dan Pengarah Urusan Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah selama tiga tahun.

Beliau melihat prospek ekonomi Papar, yang sinonim dengan produk industri kotej seperti kuih cincin, belacan dan kelupis, berpotensi diperkukuh bagi meluaskan pasaran.

“Papar ada beberapa produk ikonik yang saya rasa standardnya memang hebat. Dalam sektor perikanan, banyak sumber laut segar di sini. Ini perlu perancangan rapi untuk memastikan potensi Papar diperkukuh lagi.

“Sekarang ini, Papar juga ada dua bandar sedang pesat membangun termasuk kawasan Benoni yang kini semakin rancak, bersebelahan Lebuhraya Pan Borneo dan ada faktor tarikan tersendiri untuk mendorong pertumbuhan berterusan. Ia perkembangan semula jadi,” katanya.

Di samping itu, Pengiran Saifuddin juga mahu memastikan pembangunan pekan lama Papar diberi perhatian sewajarnya dengan menjadikannya antara destinasi tarikan pelancong ke daerah yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kota Kinabalu itu.

Beliau berkata pekan lama Papar yang terletak berhampiran sungai, mempunyai keunikan tersendiri yang mampu menarik lebih ramai pengunjung khususnya minat terhadap destinasi bersejarah yang semakin meningkat.

Beliau mengambil contoh pekan lama Kyoto di Jepun yang terkenal dengan deretan rumah kedai kayunya sebagai inspirasi pembangunan tarikan bersejarah di Papar.

“Papar memang ada sumber tarikan tersendiri, cuma perlu perancangan (pembangunan) termasuk menyediakan kemudahan sekiranya ingin menjadikan pekan lama lebih meriah, ada laluan disediakan untuk memudahkan pengunjung melawat lokasi menarik,” katanya.

Pantai Manis adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Papar selain Limbahau serta Kawang dan sebanyak 20,026 pengundi biasa layak mengundi pada PRN Sabtu ini. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

 

N29: PANTAI MANIS: SABAH: 20,026

1. Richard Vitales @ Charles (STAR)

2. Redzuan @ Ismail (BN-UMNO)

3. Datuk Aidi Mokhtar (Warisan)

4. Faizal Julaili (PN-Bersatu)

5. Datu Mohamad Datu Tamin (KDM)

6. Mohamad Azzmi Ahmad (PIS)

7. Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir (GRS-Gagasan Rakyat)

(2020: Mohd Tamin @ Tamin Zainal: BN-UMNO: Maj: 686)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan