WILAYAH - TENGAH > BERITA

TNB KERUGIAN RM5.14 BILION AKIBAT KECURIAN ELEKTRIK - FADILLAH

27/11/2025 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) dilaporkan menanggung kerugian hingga RM5.14 bilion setakat ini akibat kes kecurian elektrik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata bagi tempoh 2020 hingga 2025 menerusi 91 operasi pembongkaran, sebanyak 14,489 premis diperiksa dan 77 kertas siasatan telah dibuka. 

Beliau berkata bagi tempoh sama 85 kes melibatkan premis yang menjadi mangsa kecurian elektrik telah direkodkan dan berdasarkan siasatan, premis terlibat disahkan mangsa, dan mereka tidak didakwa atau dikenakan bayaran.

“Sebab itu langkah yang kita nak ambil ialah memberi kesedaran terutamanya kalau pemilik premis sama ada premis kediaman mahupun perniagaan, kalau mereka sewakan tempat kepada orang pastikan jangan guna nama mereka untuk memohon.

“Pastikan penyewa yang memohon supaya mereka tidak menjadi mangsa kepada penggunaan elektrik tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung jumlah kerugian ditanggung TNB sejak 2020 hingga kini akibat kes kecurian elektrik khususnya aktiviti sindiket mata wang kripto, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi mengatasi masalah kecurian elektrik dan mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa pemalsuan identiti, Fadillah berkata TNB telah memperkenalkan kaedah pengesahan identiti menggunakan cap jari dan kad pengenalan (MyKad), dengan data disemak terus melalui peranti biometrik TNB.

Beliau berkata kaedah baharu itu selamat, menepati piawaian industri serta telah diguna pakai secara meluas dalam sektor kerajaan, perbankan dan telekomunikasi.

“Melalui kaedah pengesahan identiti secara digital (eKYC), pengguna perlu mengimbas dokumen pengenalan (MyKad/pasport) dan memadankannya dengan visual diri (swafoto) bagi pengesahan wajah.

“Penggunaan eKYC akan diperluas secara berperingkat mulai tahun ini bagi semua permohonan individu melalui portal myTNB. Kaedah ini bukan sahaja mengurangkan risiko penipuan identiti, malah meningkatkan keyakinan pengguna serta memastikan pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya.

Fadillah berkata hasil penggunaan sistem itu, terdapat pengurangan kes pemalsuan dokumen indentiti dengan hanya tiga kes direkodkan tahun lepas.

“Kalau kita lihat rekod pemalsuan dokumen identiti dari 2021 ada 92 kes yang kita terima aduan, pada 2022 pula 49 kes, mula menurun. Pada 2023 bila diperkenalkan sistem biometrik kes mula turun kepada 26, 2024 hanya tiga kes direkodkan itu pun disebabkan permohonan secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga bakal memperluas sistem sama bagi urusan secara dalam talian dan ketika ini sistem itu dilaksanakan secara rintis di Kuala Lumpur sebelum digunakan di seluruh negara kelak.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan