WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANJIR HAT YAI: MAKLUMAT PALSU GANGGU OPERASI BANTU WARGA MALAYSIA TERKANDAS

27/11/2025 01:13 PM

ALOR SETAR, 27 Nov (Bernama) -- Pasukan penyelamat sukarela Malaysia yang sedang giat membantu rakyat Malaysia terkandas akibat banjir di Hat Yai, Thailand, kini berdepan cabaran baharu akibat penyebaran maklumat palsu hingga menjejaskan misi mereka.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani Leong Beng Tat berkata sejak pasukannya tiba di kawasan bencana, mereka menerima pelbagai mesej kecemasan melalui WhatsApp daripada pihak tertentu dipercayai bertujuan mendapatkan keutamaan bantuan.

“Kita menerima banyak mesej kecemasan namun sebahagiannya didapati tidak benar selepas disemak.

“Antara maklumat tidak sahih yang tersebar adalah kononnya terdapat mangsa dalam keadaan kritikal tetapi tidak dapat disahkan oleh pasukan kita di lapangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Leong berkata maklumat tidak sahih itu bukan sahaja mengganggu perancangan operasi, malah menjejaskan usaha untuk memberikan bantuan kepada mangsa yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata kelancaran operasi pasukannya amat bergantung kepada maklumat tepat, dan semua operasi dijalankan berdasarkan tahap risiko serta keperluan sebenar mangsa.

“Setiap laporan palsu boleh menyebabkan kelewatan beberapa minit dan itu mungkin membezakan antara selamat dan tidak,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan pihak tertentu agar tidak menyebarkan atau mereka-reka maklumat semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan bantuan segera.

Beliau berkata warga Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan diminta menghubungi pihaknya dan memberikan maklumat lengkap seperti lokasi, jumlah mangsa serta nombor telefon untuk dihubungi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan