WILAYAH - TENGAH > BERITA

BANJIR HAT YAI: LEBIH 700 RAKYAT MALAYSIA DIPINDAHKAN KE BUKIT KAYU HITAM

27/11/2025 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Lebih 700 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari Hat Yai ke Bukit Kayu Hitam, Kedah susulan banjir besar yang melanda selatan Thailand, termasuk mereka yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS), menurut laporan Konsulat Jeneral Malaysia di negara itu semalam.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata operasi pemindahan itu dapat digerakkan berikutan penurunan paras air selepas hujan lebat reda pada petang semalam, sekali gus membolehkan pasukan Malaysia dan Thailand mengakses lebih banyak lokasi yang sebelum ini terputus hubungan.

“(Berdasarkan laporan daripada Konsul Jeneral pada 26 Nov), dianggarkan kurang daripada 500 rakyat Malaysia masih terkandas, dan operasi akan disambung semula pagi ini. Menurut laporan pagi ini, sebanyak 177 rakyat Malaysia telah berjaya diselamatkan.

“Ada sekumpulan pensyarah dan juga penuntut UUM (Universiti Utara Malaysia) yang terkandas di Wangburapa Hotel. Ini di kawasan Old Hat Yai City yang teruk kerana kawasan tersebut berhampiran dengan sungai dan arus amat deras. Tidak ada mana-mana kenderaan boleh masuk termasuk bot ringan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang bertanyakan usaha segera kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Thailand susulan bencana serta langkah pencegahan bagi memastikan rakyat Malaysia lain tidak menghadapi situasi sama memandangkan rantau itu juga memasuki musim tengkujuh.

Mohamad berkata bot bantuan sudah dapat memasuki kawasan terlibat, namun beberapa laluan darat masih tidak boleh dilalui kenderaan biasa hingga pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kontena bagi membawa keluar mangsa sebelum pergerakan menggunakan bas dapat disambung semula hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata memandangkan hujan telah reda sejak semalam, pasukan dari Central Thailand serta sukarelawan Perbandaran Hat Yai akan menyelamatkan penginap di sebuah hotel yang berada di kawasan tidak boleh dilalui kenderaan.

“Saya telah menelefon rakan sejawat saya bertanyakan sama ada memerlukan atau tidak pasukan penyelamat daripada Malaysia, tetapi beliau menyatakan bahawa keadaan dapat diuruskan mereka sendiri. Kita mendapat banyak bantuan dan pertolongan yang amat baik daripada pihak berkuasa Thailand.

“Tetapi sukarelawan kita banyak pergi, Pasukan Bomba Sukarela kita banyak pergi dari kawasan utara Malaysia, dari Perlis, Kedah dan Utara Perak dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain,” katanya.

Mengenai nasihat kerajaan kepada semua rakyat Malaysia yang berhasrat melancong ke Thailand pada hujung tahun ini, Mohamad menasihati orang ramai supaya menangguhkan dahulu perancangan tersebut berikutan musim tengkujuh.

“Bagi rakyat Malaysia yang masih berada di selatan Thailand, mereka adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan keadaan cuaca dan mengikuti pengumuman atau arahan  daripada pihak berkuasa tempatan sepanjang masa.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus melaksanakan langkah-langkah terbaik bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di sana terjamin,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan