WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BEKALAN KEPERLUAN MAKANAN DI KAWASAN TERJEJAS BANJIR DI PERAK TERJAMIN, MENCUKUPI - KPDN

27/11/2025 03:25 PM

IPOH, 27 Nov (Bernama) -- Bekalan barangan keperluan makanan di kawasan terjejas banjir terutamanya di daerah Manjung dan Perak Tengah adalah terjamin dan mencukupi setakat ini, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail.

Beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai gangguan bekalan barangan keperluan makanan, terutamanya minyak masak atau beras.

“Alhamdulillah di Perak berdasarkan maklumat dan data menunjukkan bekalan mencukupi dan kita sentiasa bersedia di mana-mana kawasan banjir, kita ada membuka bilik gerakan di kawasan terjejas untuk memantau bekalan barangan keperluan makanan sepanjang musim banjir.

“Kita bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk pastikan bekalan makanan mencukupi supaya tiada gangguan keberadaan bekalan keperluan makanan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pasar Patuh di Pasar Awam Tanjung Rambutan, di sini hari ini.

Jumlah mangsa banjir di Perak setakat 8 pagi ini meningkat kepada 5,620 mangsa daripada 1,746 keluarga yang berlindung di 46 PPS di lapan daerah yang terjejas, iaitu Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Kuala Kangsar, Larut Matang dan Selama, Muallim dan Batang Padang.

Sementara itu, Kamalludin berkata Program Pasar Patuh akan diperluas di kesemua pasar awam di negeri itu pada tahun hadapan melalui Program PATUH, dengan menjadikan Pasar Awam Tanjung Rambutan sebagai projek perintis di negeri ini.

“Pelancaran ini bertujuan memberi mesej jelas kepada semua peniaga pasar di Perak untuk meningkatkan tahap pematuhan peraturan dan perundangan, dalam memastikan ekosistem perdagangan yang kondusif dan telus,” katanya.

Beliau berkata program tersebut bertujuan memberi mesej jelas kepada semua peniaga pasar untuk meningkatkan tahap pematuhan peraturan dan perundangan, dalam memastikan ekosistem perdagangan yang kondusif dan telus.

Dalam pada itu, Kamalludin berkata sebanyak lapan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) telah dijadikan Zon Persinggahan Patuh (ZPP) dan pihaknya akan memperluas ke kesemua 19 R&R di negeri itu bermula tahun depan.

“ZPP di R&R dipilih sebagai platform pendidikan pengguna dan model perniagaan berintegriti. KPDN menekankan pendekatan kawalan kendiri dalam kalangan peniaga agar pematuhan terhadap undangundang perdagangan dapat dicapai secara menyeluruh dan berterusan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan