KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan rakyat Sabah memiliki kematangan politik yang tinggi untuk memilih wakil rakyat terbaik bagi kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 Sabtu ini.
"Saya harap Sabah mengambil keputusan yang bijak. Rakyat sudah matang dan memilih dengan baik. Saya datang untuk memberi ruang kepada mereka supaya hubungan negeri dengan Persekutuan baik," kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Dialog Awam PMX Sayang Sabah Bersama Pemuda Inanam di sini hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata lawatan kerja beliau selama dua hari ke negeri ini bertujuan memberikan sokongan moral kepada semua calon PH yang bertanding.
Terdahulu, dalam sesi berkenan, Perdana Menteri berkata golongan muda Sabah penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan negeri dengan memilih pemimpin bertanggungjawab dan berintegriti.
"Anak-anak muda sekarang akan menentukan corak masa depan. Anda pilih. Anda mahu menjadikan Malaysia dan Sabah lebih gemilang atau mahu memusnahkan negara ini. Jika anda mahu menjadikan Malaysia hebat, maka marilah kita bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan,” kata Anwar.
Sebanyak 1.76 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab pada PRN Sabah ke-17 Sabtu ini, yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial