WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN MADANI PERUNTUK JUMLAH BESAR UNTUK PEMBANGUNAN, KESEJAHTERAAN RAKYAT SABAH - PM ANWAR

28/11/2025 07:24 PM

KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan MADANI terus memperuntukkan jumlah yang besar kepada Sabah bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan dan kesejahteraan rakyat termasuk pendidikan, kesihatan, infrastruktur, peluang ekonomi serta bantuan kos sara hidup, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagi tahun ini sahaja, Sabah menerima peruntukan Persekutuan merangkumi RM5.87 bilion untuk sektor pendidikan, RM2.49 bilion bagi kesihatan, RM3.69 bilion untuk infrastruktur serta RM162.77 juta bagi pekerjaan dan peluang ekonomi.

“Kerajaan MADANI telah menyalurkan peruntukan terbesar untuk Sabah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup, menangani isu elektrik dan air, membina hospital, membaiki klinik daif dan menoktahkan kemiskinan tegar.

“Pilih masa depan yang membawa sinar HARAPAN dan benar-benar bekerja untuk urang Sabah,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Anwar berkata kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat Sabah melalui program BUDI95, subsidi diesel khas Sabah, Sarawak dan Labuan, selain Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta SARA yang memberi manfaat kepada lebih 842,000 penerima di negeri berkenaan.

Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat pula diterima lebih 68,000 rakyat Sabah dengan peruntukan RM317.92 juta.

Anwar berkata walaupun kuasa kawal selia autonomi elektrik telah diserahkan kepada kerajaan Sabah, kerajaan Persekutuan tetap meneruskan sokongan melalui kelangsungan bekalan elektrik berjumlah RM1.2 bilion, projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sabah bernilai RM190 juta, pemasangan panel solar hibrid di kampung-kampung kecil serta pembinaan Southern Link Transmission Line bagi memperkukuh tenaga boleh baharu.

Dalam isu air bersih, katanya projek bekalan air Sabah dijangka siap tahun hadapan dengan Kerajaan MADANI menyediakan pembiayaan berumlah RM1 bilion sejak 2024 merangkumi pemasangan paip dan tangki simpanan baharu di Tawau, menaik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan serta menaik taraf Kolam Pengoksidaan Inanam. 

Perdana Menteri berkata jumlah peruntukan untuk projek air Sabah bagi tempoh 2023 hingga 2026 mencecah RM1.33 bilion.

Selain itu, katanya pembinaan pusat jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II bernilai RM125 juta sedang berjalan, sementara usaha menaik taraf klinik daif di Sabah mencapai 70 peratus kemajuan melibatkan 48 klinik dengan peruntukan RM800 juta di bawah Belanjawan 2025.

Menurutnya Sabah turut menerima manfaat besar menerusi projek membaik pulih sekolah daif, melibatkan 230 projek yang siap sepenuhnya sebagai sebahagian daripada peruntukan Persekutuan untuk menangani isu sekolah dan klinik daif di Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata terdapat pencapaian ketara dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di Sabah apabila jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori itu menurun daripada 23,651 pada Februari 2024 kepada hanya empat KIR pada Oktober 2025. 

Katanya penurunan besar itu adalah hasil pelaksanaan program berfokus seperti Sejati MADANI, bantuan bersasar, penstrukturan semula data dan intervensi di peringkat kampung.

Untuk berita terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan berlangsung esok, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan