WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UPSI BERI BANTUAN PSIKOSOSIAL KEPADA MANGSA BANJIR DI PERAK

27/11/2025 06:17 PM

IPOH, 27 Nov (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membantu komuniti terjejas bencana melalui Misi Bantuan Awal Psikologi yang digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kuala Slim dekat Tanjung Malim hari ini.

Misi berkenaan melibatkan kekuatan kakitangan Pusat Kaunseling UPSI dan sukarelawan Pertolongan Cemas Psikologi (PFA) yang melaksanakan aktiviti psikososial bersama kanak-kanak dan remaja, latihan regulasi emosi untuk golongan dewasa dan warga emas serta saringan kesihatan mental bagi mengenal pasti tahap tekanan dialami mangsa banjir.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata mobilisasi pasukan psikologi itu selaras dengan komitmen universiti untuk memastikan kebajikan komuniti sentiasa diberi keutamaan, terutama ketika berdepan situasi bencana.

“Kepakaran dalam bidang kaunseling dan psikologi yang kami miliki perlu dimanfaatkan untuk mendampingi mangsa yang sedang berada dalam keadaan tertekan dan tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Amin berkata sokongan awal kepada mangsa banjir dapat mengurangkan risiko trauma jangka panjang serta membantu mangsa kembali stabil dengan lebih cepat.

Terdahulu, Pusat Kaunseling UPSI turut menggerakkan Misi Bantuan Awal Psikologi di beberapa PPS sekitar Lumut sebagai usaha menyeluruh menyokong kestabilan emosi mangsa banjir di kawasan terjejas serta meneruskan misi sokongan psikologi di beberapa PPS di daerah Manjung yang terkesan akibat banjir.

Sementara itu, Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI bersama Neuro-Immersive Wellness Center dan Persatuan Kasih menyantuni 217 mangsa banjir di Lekir dekat Manjung hari ini. 

Dekan FPM Prof Dr Abdul Talib Mohamed Hashim berkata Misi Task Force Bantuan Psikososial telah menjalankan intervensi psikososial kepada 217 mangsa banjir di SK Batu 10 Lekir.

Beliau berkata pasukan itu turut memberikan sokongan emosi kepada keluarga dan kanak-kanak yang terjejas, dan antara intervensi yang dijalankan ialah PFA, kaunseling sokongan, aktiviti regulasi emosi, permainan terapeutik serta modul pemerkasaan keluarga. 

“Pendekatan ini memberi fokus kepada pengurusan tekanan, meningkatkan ketahanan psikologi dan membantu mangsa kembali berfungsi selepas melalui detik cemas akibat bencana.

“Kolaborasi bersama Persatuan Kasih mengukuhkan aspek kebajikan dan keperluan asas mangsa manakala kepakaran Neuro Immersive Wellness Center menyokong pelaksanaan intervensi berasaskan neuropsikologi dan kesejahteraan minda,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan