WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PBS BUKIT BENDERA PERGIAT USAHA SELAMAT MANGSA KANDAS DI HAT YAI

27/11/2025 09:24 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 27 Nov (Bernama) -- Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera terus mempergiat usaha membantu menyelamat rakyat Malaysia yang terkandas di Hat Yai, Thailand.

Ketua Operasi PBS Bukit Bendera Teoh Chuang Piau yang berada di Hat Yai berkata ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang diselamatkan mengalami cirit birit, demam dan sebagainya, malah ada beberapa mangsa yang terpaksa dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

"Kami bergerak dari Bukit Bendera pada 8 pagi semalam sebelum tiba di Hat Yai tiga jam kemudian, sebanyak enam anggota, dan sebuah kenderaan utiliti bomba, bot penyelamat dan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi ini.

"Sebaik tiba, kami terus menjalankan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap di hotel sekitar bandar Hat Yai, dan tumpuan bukan sahaja rakyat Malaysia, namun sesiapa sahaja yang berada di situ (hotel)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata semua mangsa yang diselamatkan dibawa ke pekarangan pusat membeli-belah di Central Hat Yai sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Teoh berkata banjir yang semakin surut dan cuaca yang baik pada hari ini serta hujan sekejap-sekejap  banyak membantu operasi menyelamat, namun masih terdapat beberapa hotel yang belum dapat dimasuki pasukan penyelamat berikutan arus deras.

Ketika ini lebih 20 PBS dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia berada di Hat Yai menjalankan operasi menyelamat.

Teoh berkata pasukan PBS Bukit Bendera akan berada di Haytai dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

"Tapi kalau keadaan banjir semakin buruk dan masih ramai terkandas, kita akan terus berada di Hat Yai untuk membantu menyelamat dan memindahkan mereka," katanya.

"Pasukan penyelamat di Hat Yai berterima kasih kepada pasukan Malaysia kerana dapat sampai dengan cepat dan bukan sahaja membantu rakyat negara kita sahaja tetapi turut menyelamatkan penduduk tempatan di situ," katanya.

Menurut laporan, ahli keluarga di Malaysia yang percaya saudara mereka mungkin masih terkandas di Hat Yai diminta segera menghubungi Bilik Gerakan, terutama dalam kes melibatkan warga emas, pesakit atau individu yang mungkin menghadapi masalah komunikasi.

Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi bilik gerakan Kementerian Luar di Putrajaya melalui talian +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok boleh dihubungi menerusi talian +66-87-028-4659 atau +66-2340-5721, atau e-mel mwbangkok@kln.gov.my.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla boleh dihubungi menerusi talian +(6674) 316274 atau +(6681) 9901930, serta talian tambahan +(6674) 324004 dan 312353 atau e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan