NIBONG TEBAL, 27 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dipercayai memandu kereta secara berbahaya di Kilometer 65 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini, yang videonya turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Jay January Siowou berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung video tular itu semalam, sebelum polis berjaya mengesan pemandu kereta iaitu seorang lelaki tempatan dan menahannya.
“Video berdurasi satu minit itu memaparkan sebuah kereta dipandu secara melulu dan berbahaya, dan lelaki itu kini reman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Jay berkata kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menyalurkan kepada pihak polis dengan menghubungi pegawai penyiasat Insp Albukhari Ishak di talian 013-582 2366 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Dalam perkembangan lain, Jay berkata polis sedang mengesan tiga saksi untuk hadir perbicaraan kes dadah di Mahkamah Tinggi Butterworth bersangkut kes di Nibong Tebal di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata mereka ialah Nabila Huda Abdu Hadi beralamat terakhir di No A-9-11 Aliran Damai Apartment Jalan Damai Perdana di Kuala Lumpur dan Muhamad Amir Muhsin Zulkifly yang beralamat di No 31 Tingkat 2, Taman Seri Changlun di Changlun, Kedah serta Lee Theng Siang beralamat di Jalan Besar Bagan Tiang di Tanjung Piandang, Perak.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai saksi-saksi itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Fauziah Md Lazim di talian 013-432 2414 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial