WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRN SABAH: ARTHUR KURUP SANDAR REKOD PEMBANGUNAN, TAGIH MANDAT BAHARU DI DUN SOOK

28/11/2025 10:19 AM

Oleh SYED IYLIA HARIZ AL-QADRI

SOOK, 28 Nov (Bernama) -- Berbekalkan rekod membawa projek jalan raya bernilai jutaan ringgit dan menunaikan janji pembinaan sekolah menengah baharu, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yakin pencapaian itu menjadi kekuatan utamanya dalam usaha menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata pengalaman empat tahun sebagai Ahli Parlimen Pensiangan dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan membuktikan kemampuannya melaksanakan projek pembangunan di kawasan pedalaman.

“Saya yakin saya telah banyak membantu membawa projek-projek jalan raya utama, contohnya jalan ke Pegalungan dan Pensiangan, jalan Rancangan Belia Tilon, jalan masuk ke Kampung Karamotoi. Ini semua dicapai dalam tempoh empat tahun saya menjadi Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen,” katanya kepada Bernama ketika berkempen di Kampung Kalampun baru-baru ini.

Antara usaha besar yang direalisasikan ialah pembinaan sekolah menengah baharu yang sekian lama dinantikan penduduk Sook.

Arthur berkata pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit kini sedang berjalan, sekali gus membuktikan komitmennya terhadap janji pilihan raya yang dibuat dua tahun lepas.

PRN kali ini menyaksikan Arthur, yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), buat julung kali bertanding di kerusi DUN dalam saingan lima penjuru, berhadapan penyandang Datuk Ellron Angin yang meraih majoriti 1,232 undi pada PRN lepas.

Mengulas manifestonya, Arthur berkata penekanan diberikan kepada isu-isu teras bawah kuasa kerajaan negeri khususnya tanah dan air yang menjadi antara masalah paling kritikal di kawasan pedalaman Sabah.

“Tanah adalah isu besar… pewartaan kampung lambat, geran lambat dikeluarkan. Ini menyekat orang kampung meningkatkan ekonomi mereka.

“Air juga masalah serius di Sook, Keningau dan keseluruhan zon pedalaman Sabah. Pelaksanaannya pula di bawah kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata keyakinan rakyat terhadap rekod kerjanya sepanjang empat tahun lepas menjadi asas kepada permohonan untuk diberikan mandat di peringkat DUN.

“Saya harap rakyat Sook menilai rekod kerja saya. Jika mereka nampak apa yang telah saya buat, saya merayu, berilah saya peluang untuk berkhidmat di peringkat kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, ketika kempen memasuki fasa akhir, Arthur berkata semua calon kini berada pada pecutan terakhir, giat melakukan ‘desakan saat-saat akhir’ untuk bertemu pengundi dan meraih sokongan.

Beliau bagaimanapun berkata kempen perlu kekal sihat dan berfokus kepada tawaran untuk rakyat.

“Saya sangat berharap kami terus berkempen secara berintegriti, tanpa serangan peribadi. Fokus kepada agenda apa yang kami boleh bantu rakyat,” katanya.

Terletak kira-kira 147 kilometer dari Kota Kinabalu, DUN Sook adalah satu daripada kawasan pedalaman dalam Parlimen Pensiangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N45: SOOK: SABAH: 20,349

 

1. Datuk Ellron Angin (GRS-Calon Langsung)

2. Shafiq @ Joseph Peter Tinggi (Warisan)

3. Ireneus Pagut @ Jreneus Pagut (STARSABAH)

4. Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (BN-PBRS)

5. V Chong Vin @ Siau Ho (PIS)

 

(2020: Ellron Angin: PN-STAR: Maj: 1,232)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan