WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LCP 2.0 PERTINGKAT KELANCARAN PEMBANGUNAN, PERKUKUH KEYAKINAN PELABUR

28/11/2025 06:26 PM

MELAKA, 28 Nov (Bernama) -- Manual Laporan Cadangan Pemajuan Edisi Kedua Pindaan Negeri Melaka (LCP 2.0) meningkatkan kelancaran pembangunan, memperkukuh keyakinan pelabur sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi secara keseluruhan.

Pengarah Tanah dan Galian Melaka Datuk Noraini Tawel berkata LCP 2.0 adalah dokumen rujukan utama yang dibangunkan melalui kerjasama strategik Pentadbiran Tanah Negeri Melaka dan PLANMalaysia Melaka dan agensi teknikal bagi menyeragamkan penyediaan laporan cadangan pemajuan. 

“Manual ini menetapkan format, kandungan serta keperluan teknikal termasuk maklumat pengambilan tanah melalui projek perekayasaan pengambilan tanah Melaka yang merupakan komponen penting dalam inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), bertujuan mempercepat proses pengambilan tanah daripada sekitar tiga tahun kepada enam bulan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebelum pelaksanaan Manual LCP 2.0, beberapa masalah sering timbul yang melambatkan permohonan iaitu pemohon perlu mengemukakan kertas cadangan projek bagi pengambilan tanah dan LCP bagi kebenaran merancang secara berasingan serta tidak menggunakan format seragam. 

Noraini berkata selain itu, ulasan teknikal daripada jabatan dan agensi juga perlu dibincangkan dalam dua jawatankuasa berbeza namun membabitkan keahlian yang sama sekali gus ketidakseragaman format serta perbincangan teknikal dalam jawatankuasa berasingan ini menyebabkan berlaku percanggahan ulasan antara jabatan. 

“Keadaan ini menyebabkan pelan cadangan pemajuan yang dikemukakan perlu dipinda dan kelewatan dalam memperoleh kelulusan pelaksanaan projek sekali gus menyebabkan proses pengambilan tanah menjadi lebih panjang serta tidak efisien,” katanya.

Noraini berkata susulan itu, proses pengambilan tanah secara purata mengambil masa antara 18 hingga 36 bulan berikutan dokumen tidak seragam, maklumat teknikal tidak lengkap, keperluan ulasan berulang, pindaan pelan cadangan pemajuan projek yang kerap berubah serta kesukaran memperoleh ulasan yang tepat dan seragam daripada agensi teknikal.

Beliau berkata dengan penyusunan semula aliran kerja, pelaksanaan prakonsultasi teknikal dan penyediaan maklumat pengambilan tanah yang lengkap sejak peringkat awal pelan cadangan pemajuan projek dikemukakan, tempoh pengambilan tanah dapat dipendekkan kepada kira-kira enam bulan.

Di sebalik kejayaan pelaksanaan Manual LCP 2.0, Noraini berkata antara cabaran utama semasa pelaksanaan projek perekayasaan ialah mendapatkan kefahaman dan pengurusan perubahan semua pihak yang terlibat. 

Noraini berkata perubahan kepada proses kerja baharu perlu dipraktikkan oleh semua pihak terutama pemohon yang perlu mematuhi keperluan prakonsultasi bersama agensi teknikal bagi memuktamadkan pelan pembangunan projek seperti jajaran, utiliti dan maklumat pengambilan tanah sebelum permohonan dikemukakan. 

“Penggunaan format Manual LCP 2.0 adalah wajib bagi memastikan dokumen yang diterima oleh Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan serta agensi teknikal adalah lengkap dan seragam bagi memastikan penyediaan maklumat yang tepat sejak awal amat penting untuk mempercepat proses ulasan teknikal,” katanya.

Beliau berkata selain itu, pelaksanaan perekayasaan turut membabitkan pematuhan pelbagai peruntukan undang-undang dengan kelulusan daripada kustodian akta berkaitan perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum sebarang pindaan kepada proses kerja dapat diteruskan. 

“Proses ini bukanlah sesuatu yang mudah sementelah ia melibatkan pihak Ibu Pejabat PLANMalaysia,” katanya.

Bagaimanapun, Noraini berkata manfaat besar diterima oleh pelbagai pihak berkaitan apabila pemaju memperoleh manfaat melalui kelulusan lebih cepat serta penjimatan kos pembangunan berikutan tempoh masa pelaksanaan lebih pendek manakala agensi teknikal pula menikmati proses ulasan lebih tersusun, seragam dan tidak berulang.

Beliau berkata bagi Kerajaan Negeri Melaka pula, pelaksanaan LCP 2.0 meningkatkan kelancaran pembangunan, memperkukuh keyakinan pelabur dan mengurangkan kerenah birokrasi secara keseluruhan selain pengurusan hasil menjadi lebih cekap apabila premium, cukai hasil-hasil lain dapat diperoleh dalam kadar lebih cepat.

“Pelaksanaan perekayasaan mempercepat pembangunan yang secara langsung merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan hasil seperti cukai tanah, premium dan permit manakala projek infrastruktur awam dapat disiapkan mengikut jadual seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

“Tadbir urus menjadi lebih cekap dan telus, menjadikan Melaka negeri perintis dalam reformasi pengambilan tanah di peringkat nasional serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini,” katanya.

Manual LCP 2.0 dilancarkan pada 6 Nov lepas pada Majlis Perjumpaan Antara Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dengan para pegawai awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Melalui pelaksanaan LCP 2.0, selain tempoh urusan pengambilan tanah berjaya dipendekkan, ia juga menjimatkan hampir 75 peratus masa dan mengurangkan kos pematuhan tahunan sebanyak RM6.22 juta.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan