WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN SEA: HOKI 5S LELAKI SASAR EMAS, WANITA INTAI KEJUTAN DI THAILAND

28/11/2025 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Skuad hoki 5 sebelah (5s) negara menyasarkan pingat emas di Sukan SEA 2025, dengan skuad lelaki dinilai berpotensi tinggi berdasarkan pencapaian sebelum ini.

Pengurus pasukan lelaki hoki 5s kebangsaan Hasnizam Hassan berkata pemilihan pemain dan latihan telah dilakukan secara rapi yang meningkatkan keyakinan bagi menghadirkan keputusan positif di temasya dwitahunan berkenaan bulan depan.

“Ini kali pertama hoki 5s dipertandingkan di Sukan SEA dengan sasaran kami ialah emas untuk pasukan lelaki dan perak bagi wanita.

"Namun kami optimis pasukan wanita juga mampu menghadirkan kejutan," katanya pada sidang media pengumuman skuad lelaki dan wanita hoki 5s ke temasya itu di sini hari ini.

Hasnizam berkata pemain terbaik negara, Akhimullah Anuar Esook akan mengetuai pasukan negara di samping Adrian Albert, Mohamad Akmal Yussaini, Muhammad Arif Syafie Ishak, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Syarman Mat Tee, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee, Muhammad Muhibuddin Moharam dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini.

Beliau berkata kejayaan Malaysia muncul naib juara Piala Dunia 5s 2024 di Muscat, Oman turut mengukuhkan kedudukan skuad lelaki negara sebagai antara pencabar utama di Sukan SEA.

Tiga pemain wanita yang pernah beraksi di Piala Dunia 5s 2024 seperti Nurul Safiqah Mat Isa, Dian Nursyakira Najwa Al Qadqa Nazeri dan Nur Shafika Ahmad Kamal akan mengemudi cabaran negara dalam usaha merealisasikan pingat perak.

Sementara itu, jurulatih skuad lelaki Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman berkata beberapa perlawanan persahabatan telah diatur sebelum Sukan SEA bermula, termasuk menentang pasukan tuan rumah bagi memantapkan persiapan.

“Thailand dibimbing jurulatih berpengalaman, Megat (Megat Azrafiq Megat Termizi) yang pernah membawa Malaysia ke Sukan Olimpik Remaja 2018. Jemputan mereka amat membantu kerana kami dapat menilai kekuatan dan kelemahan lawan selain menyesuaikan diri dengan keadaan padang di sana,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan