WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM TAHAN SHAMSUL ISKANDAR, ALBERT TEI DAN SOFIA RINI BANTU SIASATAN DAKWAAN RASUAH

28/11/2025 06:37 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, ahli perniagaan Albert Tei dan Sofia Rini Buyong bagi membantu siasatan kes tohmahan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes dakwaan pemberian rasuah oleh Albert Tei atau nama sebenar Tei Jiann Cheing kepada Shamsul Iskandar bagi mendapatkan semula wang yang diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

“SPRM menahan Shamsul Iskandar di Ibu Pejabat SPRM hari ini pada 12.51 tengah hari bagi membantu siasatan dalam kes ini. Beliau datang memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira 12 tengah hari tadi.

“Albert Tei yang pada mulanya dijangka hadir (memberi keterangan) pada 1 Dis telah dimaklumkan untuk hadir lebih awal namun demikian beliau enggan hadir lebih awal dan enggan memberi kerjasama dengan siasatan dijalankan SPRM,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata Albert Tei ditahan di rumahnya di Puchong pada 10.15 pagi hari ini dan penahanan itu dilakukan berikutan beliau orang paling penting bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Azam berkata SPRM juga telah menyerahkan notis Seksyen 28A (9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert Tei yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa yang menyiasat bagi menafikan hak tertuduh untuk berhubung dengan peguam dan mana-mana pihak lain.

Beliau berkata permohonan reman terhadap Albert Tei dan Shamsul Iskandar dijangka akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok.

Sementara itu, Azam berkata Sofia Rini telah ditahan pada 10.30 malam semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.

Katanya permohonan reman terhadap wanita itu dibenarkan selama empat hari hingga Isnin ini (1 Dis) oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Azam berkata pihaknya menegaskan kes itu merupakan kes berkepentingan awam dan SPRM telah menjalankan siasatan dengan kadar segera agar tidak dimanipulasi pihak tertentu.

Beliau berkata SPRM akan menyiasat kes berkenaan secara profesional serta adil berlandaskan lunas undang-udang dan pihak yang mempertikaikan tindakan penahanan ketiga-tiga individu tersebut mempunyai hak untuk mempertikaikannya di mahkamah. 

“Saya telah mengarahkan pegawai siasatan saya untuk melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu ini untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan beliau secepat mungkin. Justeru itu saya menyeru semua pihak untuk bersabar dan jangan membuat spekulasi dalam kes ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan